KUALA LIPIS - Usaha bagi menaiki taraf loji rawatan air Kechau yang mengalami kerosakan akibat mendapan tanah akan dilaksanakan secepat mungkin.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan kira-kira RM10 juta kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi pelaksaan projek menaikkan taraf loji tersebut.

Menurutnya, sekiranya loji tersebut dibina baharu, peruntukan sebanyak RM100 juta hingga RM200 juta diperlukan dan kos tersebut terlalu tinggi.

"Oleh itu, sejumlah RM10 juta akan dipohon kepada Perdana Menteri bagi membolehkan projek membaik pulih loji itu dapat disegerakan sekaligus memberi keselesaan kepada hampir 3,000 penduduk sekitar Felda Kechau dan kampung sekitar yang menghadapi gangguan bekalan air.

"Gangguan bekalan air sering berlaku kerana berlaku mendapan tanah sedalam sembilan meter ketika kejadian banjir pada Januari lalu. Tapak loji tersebut pula telah disediakan oleh pihak Felda sejak 21 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sedang media setelah melakukan lawatan serta mendengar taklimat dari pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) di loji rawatan air Kechau di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Adnan berkata, pihaknya prihatin dengan masalah bekalan air bersih di negeri ini kerana kerajaan negeri membelanjakan lebih RM22 juta untuk projek bekalan air bersih.

Menurutnya, kutipan daripada pemilik akaun hanya RM13 juta dan menyebabkan kerajaan negeri menanggung kos sebanyak RM9 juta pada setiap bulan.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri akan tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya berkaitan kemudahan asas.

"Jika peruntukan daripada kerajaan pusat diperoleh, kerja menaik taraf loji dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh lapan bulan dan akan memberi manfaat bekalan air bersih bukan sahaja kepada peneroka Felda Kechau tetapi kepada penduduk Bandar Baru Kuala Lipis, Kampung Kuala Kechau, Kampung Melaka, Kampung Dusun, Kampung Pagar Sasak, Kampung Sungai Mun, Kampung Daling, Kampung Kechau Tui dan kawasan perindustrian Kechau Tui.

"Loji yang akan dinaiki taraf nanti  dijangka dapat memberikan kapasiti 3 juta gelen bekalan air  sehari berbanding hanya 2 juta gelen," katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • POKOK SENA - Penduduk Pokok Sena kini mampu menarik nafas lega apabila loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Jabi, di sini dijangka siap pada November nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.