KUANTAN - Kerajaan negeri berupaya mengurangkan hutang yang kini mencecah RM3.2 bilion termasuk melalui penstrukturan semula Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menjelang hujung tahun ini.

Melalui usaha itu, hutang daripada kerajaan pusat berjumlah RM2.2 bilion untuk bekalan air sebelum ini dapat dilupuskan apabila ditukar status sebagai geran atau peruntukan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, baki hutang RM1 bilion akan diselesaikan secara berperingkat.

Menurutnya, hutang kerajaan negeri dengan pusat yang tinggi itu bukan satu kebimbangan memandangkan dasar sudah dibuat kerajaan iaitu apabila syarikat bekalan air distrukturkan semula, hutang berkaitan akan dilupuskan.

“Jadi  RM2.2 bilion daripada keseluruhan hutang kerajaan negeri dapat dikurangkan.

“Saya diberi tanggungjawab mengetuai rundingan dengan kerajaan pusat dan penstrukturan semula Paip mungkin dapat dimuktamadkan menjelang penghujung tahun ini.

“Baki hutang RM1 bilion  akan diselesaikan secara berperingkat termasuk menerusi proses rundingan dengan kerajaan pusat bagi melupuskan sebilangan daripadanya atas beberapa faktor,” katanya.

Muhammad Safian berkata, daripada baki hutang itu, sebahagiannya bagi laksanakan projek perumahan awam kos rendah namun ramai tidak membayarnya.

Katanya, selain itu ia termasuk  pinjaman RM200 juta bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada 2012 yang digunakan untuk menaik taraf kemudahan sukan.

“Selebihnya RM40 juta yang diberikan ketika banjir namun turut dianggap sebagai pinjaman. Jadi kita sedang berunding dengan kerajaan pusat supaya hutang RM240 juta ini ditukar kepada peruntukan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengutip hutang dengan syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan air untuk menjana kuasa empangannya di Cameron Highlands dan Tekai.