RAUB -  Tiga sahabat maut manakala seorang lagi parah apabila pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa muatan bekalan cecair peluntur pakaian kira-kira jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian yang berlaku di kilometer 358 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu (Jalan Raub - Bentong) berhampiran Taman Wawasan di sini, telah meragut nyawa pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang juga seorang kontraktor, Moo Chung Hong, 32, dari Bidor Perak.

Menurutnya, dua lagi mangsa ialah penumpang bahagian hadapan kenderaan terbabit, Mohamad Nor Firdaus Ahmad, 22, beralamat di Kampung Ulu Jelu, Dong Raub dan penumpang belakang sebelah kiri, Hew Choo Yin, 29, dari Desa Kenanga, Muadzam Shah.

Beliau berkata, seorang lagi penumpang belakang, Najid Hamdi Kamaluddin, 25, dari Taman PAKR Simpang Kallang, Raub kini dirawat di wad kritikal Hospital Raub akibat patah tangan kanan dan luka di muka. Ketiga-tiganya bekerja sebagai mekanik di bengkel kenderaan.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda yang datang dari arah Raub menuju ke Bentong dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Kenderaan terbabit dipercayai dipandu laju dalam keadaan hujan lebat ketika itu sehingga mengakibatkannya berpusing sebelum bertembung dengan lori yang sedang dalam perjalanan menghantar bekalan bagi tujuan jualan di pasar raya berhampiran," katanya di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, perlanggaran tersebut menyebabkan dua mangsa maut di tempat kejadian manakala penumpang belakang, Hew Choo Yin meninggal dunia ketika sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Raub.

Menurutnya, pemandu lori berusia 39 tahun yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati negatif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dilakukan.

"Bedah siasat ke atas semua mangsa turut dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan lurus dua hala satu lorong dan terdapat garisan berkembar pembahagi jalan. Keadaan kaki lima di bahagian kiri dan kanan jalan berturap manakala permukaan jalan basah ekoran cuaca hujan lebat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAIPING - Seorang anggota tentera berusia 20 tahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di persimpangan lampu isyarat Aeon Taiping, di sini, malam tadi.
  • KUALA KRAI - Hasrat seorang bapa menyerahkan komputer riba kepada anak bongsunya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kampung Keroh, hari ini.
  • LAHAD DATU - Seorang pengawal keselamatan lelaki di sebuah ladang di Lahad Datu maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di simpang Taman Warisan, Jalan Lahad Datu-Tungku di sini, pagi tadi.
  • KOTA BHARU - "Abang rapat dengan keluarga dan sehari sebelum dia terlibat kemalangan, dia sempat jumpa mak dan ayah di rumah saya di Kampung Kor, Dewan Beta.
  • SABAK BERNAM - Gara-gara mengelak sebuah motosikal, seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 56, Jalan Teluk Intan-Klang, di sini, pagi semalam.