KES kemalangan yang kerap berlaku di Lebuhraya Karak bukanlah disebabkan gangguan makhluk halus seperti yang dimomokkan, sebaliknya masyarakat lebih suka menokok tambah cerita dan mengaitkannya  dengan pelbagai kisah misteri.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Mansor Mohamad Nor berkata, hakikat sebenarnya kejadian kemalangan yang berlaku adalah disebabkan beberapa faktor .

Menurutnya, keadaan kereta yang tidak diselenggara dengan sempurna juga menjadi antara faktor penyumbang kepada kemalangan maut yang berlaku di situ.

“Daripada kajian kes, punca kemalangan adalah disebabkan sikap pemandu yang memandu laju  melebihi had kelajuan yang ditetapkan dan kemudiannya terbabas.

“Memandu dalam keadaan letih juga boleh menyebabkan pemandu hilang fokus dan mengakibatkan kemalangan. Pemandu jangan sesekali hilang fokus atau berkhayal ketika memandu,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang juga menyangkal dakwaan bahawa kemalangan yang kerap berlaku disebabkan mistik.

“Sebenarnya kemalangan berlaku adalah disebabkan pemandu letih dan tergesa-gesa untuk mereka menuju ke destinasi.

“Apabila mereka letih, mudah mengantuk dan menyebabkan mereka berhalusinasi nampak kelibat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemandu agar merancang pemanduan masing-masing bagi mengelakkan kecelakaan di jalan raya.

“Kalau anda rasa mengantuk atau penat, anda boleh berhenti di tempat Rehat & Rawat yang telah disediakan oleh Anih Berhad.

“Untuk info lanjut tentang di mana anda boleh berehat sila layari laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta perkembangan lain di sepanjang jajaran KLK dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan kemalangan berpunca daripada kejadian mistik.

Menurutnya, pihaknya mendakwa kemalangan yang berlaku adalah disebabkan sikap pemandu dan kondisi kereta yang kurang memberangsangkan.

“Walaupun banyak kemalangan yang telah kami bantu, setakat ini anggota tidak pernah mengalami gangguan mistik selepas melakukan misi menyelamat kemalangan.

“Kemalangan terjadi disebabkan sesetengah pemandu hanya ingin cepat ke destinasi. Kalau kita lihat, hujan pun mereka bawa laju. Sepatutnya mereka harus perlahan kerana permukaan jalan ketika hujan menjadi licin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pemandu disaran tunai solat hajat jika 'diganggu'

KEKERAPAN kemalangan yang berlaku di lebuh raya ada juga berkait dengan gangguan jin kerana kawasan seperti hutan, lautan dan gunung-ganang sememangnya diketahui sebagai tempat tinggal makhluk halus.

Jurucakap Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia, Mohd Zaki Zulkifli berkata, gangguan jin berlaku disebabkan oleh sihir, saka atau kawasan tempat tinggalnya diganggu.

“Lebuh raya sebelumnya sudah tentu hutan, hutan antara kawasan tempat tinggal jin. Saya tidak mengatakan lebuh raya tertentu cukup sekadar umum,” katanya.

Mohd Zaki juga bekas Exco Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia yang diasaskan pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus.

Mohd Zaki berkata, sekiranya terdapat gangguan di kawasan lebuh raya, rawatan biasa yang akan dijalankan ialah dengan mengadakan solat hajat dan ia boleh dilakukan di mana-mana.

“Lebuh raya itu panjang, kita tidak tahu lokasi mana yang dikatakan kerap berlaku gangguan itu, jadi cukup sekadar adakan solat hajat, tak perlu baca Yasin di tepi lebuh raya,” katanya.

Menurutnya, selain solat hajat ada beberapa kaedah digunakan dalam rawatan Islam Persatuan Perubatan Islam DarusSalam, termasuk menggunakan air dan bacaan Yasin.

Anggap kemalangan sebagai ujian ALLAH, bukan gangguan makhluk halus

PENSYARAH Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Kamaruzaman Yusoff menyangkal dakwaan kononnya kes-kes kemalangan yang berlaku di lebuh raya dan jalan lama Karak disebabkan unsur mistik.

Menurutnya, di dalam al-Quran tiada istilah makhluk halus namun yang ada hanya jin, syaitan dan malaikat.

“Di dalam Surah Adz-Dzariyat ayat 56, Allah berfirman: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepadaKu".

“Ini bermaksud persamaan antara kita dan makhluk halus (jin) untuk beribadah kepada ALLAH dan bezanya kita hidup di alam yang berbeza,” katanya.

Dr Kamaruzaman berkata, tidak dinafikan ada yang pernah melihat makhluk halus menyerupai manusia, sehingga ia menyimpulkan bahawa jelmaan itu adalah hantu. Namun, sebenarnya itu adalah jin atau syaitan, kerana mereka juga mampu menyerupai seseorang.

“Kita sebagai manusia kena mempercayai kewujudan makhluk halus sebagai tanda kebesaran ALLAH ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa percaya bahawa setiap kejadian kemalangan yang berlaku merupakan ujian Tuhan.

“Kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Karak bukanlah gangguan dari makhluk halus namun ini adalah ujian dan dugaan yang datangnya daripada ALLAH SWT.

“Dalam konteks ini, sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa berdoa untuk memohon sesuatu agar semua dipelihara daripada kemalangan maut di lebuh raya tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.