KUANTAN - Perasaan tidak puas hati pelbagai pihak terus disuarakan berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel Bugis sebagai lanun sehingga menyinggung perasaan masyarakat Bugis di negara ini.

Serangan peribadi Tun Mahathir yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan pada himpunan pembangkang di Padang Timur, Petaling Jaya, sebelum ini tidak sepatutnya berlaku kerana  asal usul dan keturunan seseorang sesuatu yang agak sensitif.

Penasihat Dunia Seni Silat Melayu Malaysia Pahang, Tengku Datuk Abdul Rahim Tengku Abdul Majid berkata,  serangan peribadi kepada musuh politik adalah perkara biasa tetapi dalam isu ini ia menggores hati banyak pihak terutama mereka yang berketurunan Bugis.

Menurutnya, sama ada pemimpin itu (Tun Mahathir) sedar atau tidak, kenyataan beliau itu turut menggores hati raja-raja  Melayu dan kaum kerabat terutama dari Selangor dan Johor kerana mereka berasal dari keturunan Bugis.

“Kita kena lihat sejarah, orang Bugis yang datang ke Tanah Melayu dan buka penempatan di sini bukan sembarangan orang. Mereka bukan lanun tetapi panglima yang gagah berani,” katanya.

Sebelum ini Tun  Mahathir dalam ucapannya menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke tempat asalnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.