KUANTAN - Sambutan hari kemerdekaan bertemakan Sayangi Malaysia pada tahun ini dimeriahkan dengan pelbagai ragam dan penampilan merdeka warga Pahang, di Jalan Mahkota di sini, pagi tadi.

Peniaga dalam talian, Suriati Ismail, 33, yang hadir dari Kem Batu 10, di sini, tidak melepaskan peluang membawa tiga anak Muhammad Rushidi Safaruddin, 13; Muhammad Shahzuan, 11, dan Muhammad Nurrizqi, setahun enam bulan.

Menurutnya, selama tiga tahun berturut-turut beliau mengeluarkan belanja kira kira RM100 untuk mengupah kawan menjahit pakaian dari Jalur Gemilang.

Empat sahabat hadir memeriahkan sambutan hari Kebangsaan 2018. Dari kanan Suhaili Sulaiman, 34, Ismarizana Che Pee, 35, dan Rosilawani Ismail, 35

“Anak nombor dua saya selalu menyertai program acara sekolah kemerdekaan juga. Saya tak kisah keluarkan belanja sebab seronok. Saya anggap ini cara saya semaikan perasaan cinta negara kepada anak-anak.

“Lebih lebih lagi bapa mereka adalah anggota tentera,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang, di sini.

Begitu juga bagi tiga sahabat, Suhaili Sulaiman, 34, Ismarizana Che Pee, 35, dan Rosilawani Ismail, 35.

Ketiga tiga mereka mengakui teruja menyaksikan sambutan hari kemerdekaan pada setiap tahun dengan hadir bersama sama anak anak dam suami ke tapak perbarisan.

Bagi Ismarizana yang sudah berkhidmat sebagai anggota tentera, sejak berusia 19 tahun, membawa anak anak menyaksikan acara sambutan kemerdekaan adalah lambang semangat berjiwa merdeka dan patriotik.

“Ia sebagai tanda kita menghargai negara kita yang masih aman. Berkumpul beramai ramai dengan pelbagai latar belakang dan kaum menambahkan lagi rasa bersyukur.

“Itulah yang kita perlu semaikan di hati anak anak, sesuai tema sambutan tahun ini, Sayangi Malaysia kita,” katanya.

Siti Aishah dan suami membawa empat anaknya untuk menyaksikan perbarisan kemerdekaan

Penasihat Hartanah, Siti Aishah Mohamed, 32, turut menarik perhatian lensa Sinar Harian yang membawa anaknya Qaseh Qaisara, Mohammad Khairill Ridzwan, 5, dengan berpakaian lengkap dari Jalur Gemilang.

Menurutnya pakaian itu dijahit sendiri dengan kos kurang RM50 untuk memberikan sokongan kepada puterinya itu menyertai program sekolah, minggu hadapan.

“Hari ni kebetulan datang sini, saja beri dia pakai dulu sebab dia tak sabar nak pakai baju dah siap. Setiap tahun memang saya dan suami akan bawa anak anak ke majlis sambutan merdeka untuk lihat perbarisan dan lain lain,” katanya.

Pelajar, Che Aunur Mardhiah Jamal Abd Nasir, 19, turut hadir bersama keluarga membawa adik, Muhammad Zul Irham, 8, yang turut mengenakan baju merdeka.

“Kami datang dengan keluarga, mak dan saudara untuk tonton perbarisan secara langsung. Dah ada di sini sejak jam 7 pagi memang tak sabar dan bersemangat sambut merdeka,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Azizah Teh, 55,  bersama anaknya Nor Fatihah Abu, 12, turut kelihatan di ruangan menonton upacara perbarisan.

Bagi Azizah, beliau mahu anaknya, yang merupakan seorang OKU (anggota tangan) tidak terlepas peluang untuk turut merasai keindahan merdeka.

“Datang tengok perbarisan dan upacara sambutan hari kemerdekan baru ada rasa seronok. Saya nak anak saya gembira dan faham nilai kemerdekaan sebenar. Kita berhimpun dalam keadaan aman bersama sama pelbagai masyarakat,” katanya.