PEKAN- Penduduk  Kampung Ubai di sini mengerakkan kutipan Tabung Bebas Najib sebagai sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kutipan tabung yang digerakkan semalam atas dasar simpati penduduk dan mengenangkan kemesraan serta jasa Ahli Parlimen Pekan itu.

Wakil penduduk, Husin A Bidin berkata, penduduk Kampung Ubai akan terus bersama dan mempertahankan Najib walau sama ada dalam keadaan susah atau senang.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kutipan dan terpulang kepada penduduk untuk menghulurkan sumbangan ikhlas mereka,” katanya  ketika ditemui pada Program Pelancaran Tabung Bebas Najib di Restoran Nasi Dagang Ubai di sini, hari ini.

Husin berkata, usaha itu sekadar termampu dan tiada sebarang paksaan sebaliknya terpulang kepada orang ramai yang berhasrat untuk berbuat demikian.

“Sumbangan ini bagi membantu  menampung dana RM500,000 untuk membayar baki wang ikat jamin yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beliau.

"Hasil kutipan ini nanti akan diserahkan sendiri oleh saya dan beberapa wakil penduduk kepada Datuk Seri Najib,” katanya.