KUANTAN - Seorang pesara pegawai daerah berpangkat Datuk mengalami kerugian lebih RM30,000 selepas terpedaya dengan pujukan seorang mualaf.

Lelaki berkenaan mendakwa dibuang keluarga selepas memeluk Islam.

Mangsa berusia 60 tahun itu kerugian wang tunai berjumlah RM11,800 dan kehilangan sebuah kereta dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

Menurutnya, beliau berkenalan dengan lelaki berusia 34 tahun itu pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika menunaikan solat sunat di sebuah masjid di Kuantan.

"Ketika berkenalan lelaki itu memaklumkan dia anak kepada seorang Datuk dan anak angkat seorang Tan Sri. Kemudian dia minta duit untuk mengisi minyak kereta kerana ada kursus saudara baharu di Kelantan," katanya.

Beliau berkata, 'rakan baharunya' itu datang ke rumahnya di Bentong untuk meminta bantuan dan meminjam kereta.

“Saya pun pelik kerana termakan pujukannya yang mendakwa baru dihalau daripada rumah ibu bapanya kerana memeluk Islam. Ibu bapanya juga melihat gambar dia solat di masjid.

“Saya terus membantunya walaupun tidak mempunyai bukti kukuh mengenai setiap dakwaannya sehinggalah pada 1 Julai lalu sedar sudah ditipu selepas dia

berdolak-dalik untuk membayar balik wang dan memulangkan kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa lelaki itu ketika datang ke rumahnya untuk meminjam kereta kononnya hendak pergi ke mahkamah bagi menyelesaikan masalah pembahagian harta.

Tambahnya, dalam tempoh tersebut dia seperti ‘dipukau’ apabila terlalu percayakan kata-kata lelaki itu dan lebih 10 kali memasukkan duit ke akaun yang diberi.

“Saya telah membuat laporan polis pada 3 Julai lalu dan berharap kes ini dapat diselesaikan. Saya juga dimaklumkan lelaki itu pernah memperdaya seorang Datuk lain.

“Saya reda tapi berharap pengalaman ini dijadikan pengajaran kepada orang lain supaya tidak mudah percaya individu yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Bentong, Superintenden Yusof Unis mengesahkan, menerima laporan mengenai kes ini dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pada masa ini polis sedang mengesan seorang lelaki untuk membantu siasatan,” katanya.