KUANTAN - Seramai 40 anggota bomba dari Pahang ditugaskan membantu memadam kebakaran melibatkan dua tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company (KBC) di Kemaman, Terengganu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, anggota terbabit dihantar sejak hari pertama kejadian (Khamis) sehingga kebakaran berjaya dipadamkan.

Menurutnya, JBPM Pahang sedia memberikan kerjasama kepada negeri berhampiran jika diperlukan termasuk dalam aspek keanggotaan dan peralatan pemadaman kebakaran dan kes-kes kecemasan lain.

“Kita sudahpun ada kerjasama di antara bomba negeri selaras  dengan peringkat ibu pejabat sekiranya berlaku bencana besar yang memerlukan kekuatan anggota dan jentera lebih besar,” katanya ketika Jamuan Mesra Aidilfitri JBPM Negeri Pahang di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Abdul Wahab berkata, sekiranya berlaku bencana atau kes-kes kecemasan besar, bomba  dari negeri berhampiran akan bersiap sedia untuk bantuan awal jika diperlukan.