KUANTAN – Seorang ibu anak enam mengalami kesukaran apabila bintik-bintik merah seperti gigitan nyamuk di kakinya kini merebak menjadi kudis sebesar tapak tangan, sejak setahun lalu.

Rohaiza Abd Kadir, 40, dari Kampung Sungai Soi berkata, dia terpaksa berulang-alik ke hospital dan klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan namun masih tidak mengetahui jenis penyakit dideritainya itu.

Menurutnya, sejak terdapat kudis di betis kaki kanannya itu, dia sukar berjalan hingga terpaksa dibantu anak dan kakak-kakaknya untuk menguruskan hal anak-anak, rumah tangga dan makan serta minumnya.

“Saya mula sakit kaki sejak setahun lalu dan keadaan semakin teruk sejak kebelakangan ini. Kadang-kadang kaki saya langsung tak boleh bergerak dan hanya mampu terlantar sahaja.

“Sebelum ini kedua belah kaki hanya ada bintik-bintik merah seperti gigitan nyamuk, tapi semakin hari bertambah teruk,  jadi seperti kudis dan bercantum hingga makin membesar.

“Saya ada ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Klinik Kesihatan Bukit Sekilau dan Klinik 1Malaysia tetapi pihak hospital juga tak dapat kenal pasti keadaan kudis ini dan masih buat pemeriksaan lanjut.

“Bagaimanapun saya sudah buat pemeriksaan darah tiga kali, tetapi ternyata bebas daripada penyakit kencing manis,” kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rohaiza berkata, kudis dialaminya itu semakin membimbangkannya kerana kini  dia langsung tidak dapat keluar bekerja sebagai pembancuh air di sebuah gerai makan berhampiran rumahnya.

“Jika dulu saya gigihkan diri juga keluar bekerja walaupun sakit, untuk tanggung enam anak berusia setahun hingga 16 tahun yang mana empat bersekolah.

“Bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM40 sehari kadangkala tidak mencukupi. Saya pula gaji hari, ada hari pergi dapatlah gaji, ada hari tak ada gaji sebab pergi bila keadaan sihat sahaja.

“Rumah yang kami duduk ini Rumah Mesra Rakyat dan perlu bayar RM150 sebulan tetapi sudah setahun jugalah tak mampu dibayar, tambahan pula sekarang saya hanya bergantung sepenuhnya dengan duit bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sahaja,” katanya.

Menurutnya, selain menyara anak-anak, dia juga perlu menanggung kos rawatannya termasuk membeli peralatan dan ubat serta membayar  tambang yang tinggi untuk ke hospital dan klinik.

Katanya, dia berharap segera sembuh bagi membolehkannya menguruskan keluarga terutama anak-anak dengan baik tetapi kekangan kewangan membataskannya kerana harga peralatan dan ubat digunakannya sangat mahal.

“Jika saya ke Klinik 1Malaysia ada juga mereka bantu secara percuma tetapi hanyalah cucian biasa. Saya perlu ke klinik kesihatan tetapi terpaksa bawa peralatan dan ubat cucian dibeli sendiri. Doktor pakar sarankan guna kain balutan mahal berharga RM80 dan ubat cuci RM37 untuk penyembuhan lebih cepat,” katanya.

Wanita itu berkata, sehingga kini dia masih tidak mampu membeli keperluan itu sedangkan keadaannya semakin buruk hingga mengalami lenguh dan sengal dikakinya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI BUAYA - Kisah lima beradik tidur di atas lantai simen yang tular di laman sosial Facebook terus mendapat perhatian masyarakat.
  • PERAK TENGAH - Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri, di sini, masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan fasa kedua sekolah berkenaan.
  • JERANTUT - Dua beradik terpaksa melalui pengalaman pertama kali membeli pakaian sekolah sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tempoh tujuh bulan.
  • KEMAMAN - Walaupun usianya sudah empat tahun, namun berat badan seorang kanak-kanak sumbing, Ajmal Salsabila Abdul Aziz yang juga anak kelima dari tujuh beradik cuma enam kilogram (kg) sahaja.
  • JOHOR BAHRU - “Saya buntu kontrak kerja saya sebagai tukang cuci sudah tidak disambung sejak dua bulan yang lalu,” luah Juraidah Jaimis, 40.