MARAN - Seorang pengedar kecil-kecilan yang dipercayai menunggu pelanggan bertempiaran melarikan diri ketika dikejar sebelum diberkas sepasukan anggota polis di dalam ladang kelapa sawit di Felda Jengka 10, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, suspek berusia 45 tahun diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mazlan Hassan berkata, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba meloloskan diri namun gagal sebelum berlaku pergelutan ketika polis cuba memberkas suspek.

"Polis merampas satu beg berwarna hitam yang dipegang suspek. Pemeriksaan mendapati beg tersebut mengandungi lima peket plastik lutsinar berisi serbuk ketulan disyaki dadah jenis heroin dan satu tiub straw mengandungi ketulan kristal dadah jenis syabu.

"Suspek yang disahkan positif methamphethamine mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes dadah iaitu Seksyen 3 (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua bahan terlarang itu dianggarkan seberat 11.24 gram dan bernilai RM650.

Menurutnya, siasatan awal mendapati,  suspek mendakwa baru sahaja mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.

"Suspek yang masih bujang dipercayai menjadikan ladang kelapa sawit itu sebagai markas untuk mengedar dadah.

"Dia ditahan reman di Lokap IPD Maran selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 15 (1) (a)  Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - [VIDEO] Impian seorang pengedar untuk melebarkan sayap dalam perniagaan ubat batuk dan dadah tidak kesampaian apabila wang modal berjumlah RM40,000 dirampas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan Khamis lalu.
  • JERANTUT - Polis Daerah Jerantut berjaya mematahkan usaha seorang pengedar dadah yang cuba melarikan diri dalam satu aksi kejar-mengejar yang berlaku di Felda Kota Gelanggi 3, Selasa lalu.
  • MARANG - Bapa dua anak ditahan setelah polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menemui sejumlah 1,000 biji pil dipercayai dadah jenis pil kuda bernilai RM10,000 di sebuah rumah, di Jambu Bongkok petang Ahad lalu.
  • MARANG - Empat lelaki termasuk seorang dari mereka yang cuba meloloskan diri berjaya ditahan polis bersama 217 pil dipercayai dadah jenis pil kuda dalam serbuan di Pulau Kerengga di sini, Selasa lalu.
  • JOHOR BAHRU - Polis merampas 14 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin dan syabu dalam serbuan Ops Bersepadu di sebuah rumah di Kampung Tepi Sungai, Senai, Ahad lalu.