KUANTAN - Seorang pelajar wanita yang bakal bergelar doktor mengalami kerugian RM14,700 selepas diperdaya dipercayai oleh sindiket Macau Scam menerusi panggilan telefon yang mendakwanya terlibat dalam kegiatan judi dalam talian haram, menurut polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata dalam kejadian pada pukul 2 petang semalam, pelajar jurusan perubatan berumur 25 tahun itu menerima panggilan kononnya daripada sebuah syarikat telekomunikasi.

"Pemanggil berkenaan mendakwa nama mangsa telah disalah guna dengan perjudian secara online haram di Sabah.

"Susulan itu talian mangsa disambungkan kepada anggota polis palsu di Sabah yang meminta maklumat peribadi daripada mangsa sebelum disambungkan kepada pegawai atasan yang menyiasat kes tersebut," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, suspek ketiga  yang memperkenalkan diri sebagai inspektor polis itu kemudian telah menyuruh mangsa mengeluarkan kesemua wang di dalam akaun banknya yang berjumlah RM14,700.

Beliau berkata, mangsa yang mengikuti arahan berkenaan kemudian telah melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun yang diberi oleh suspek kononnya bagi tujuan siasatan pengubahan wang haram oleh Bank Negara.

Katanya, mangsa menyedari ditipu setelah gagal menghubungi suspek sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, lewat petang semalam.

Sementara itu, nasib yang sama turut dialami seorang lagi wanita di Temerloh yang mengalami kerugian RM32,000 setelah diperdaya menggunakan modus operandi sama.

Mohd Wazir berkata, mangsa, 56, yang menerima panggilan itu pada 12.45 tengah hari semalam, kemudiannya telah memasukkan kesemua wang berjumlah RM32,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Dia hanya menyedari ditipu setelah gagal menghubungi semula suspek sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dearah Temerloh petang semalam, katanya.

Kedua-dua kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. -Bernama