BENTONG - Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi anggota cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuantan menghala ke Bentong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian yang berlaku jam 8.30 malam itu menyebabkan Mohd Hafify Abu Bakar, 30, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa bersama seorang lagi anggota, Zulkhairieey Zulkifli yang merupakan anggota Balai Polis Bukit Tinggi dalam perjalanan dari Genting Sempah menuju ke Balai Bukit Tinggi Tinggi setelah selesai menjalankan tugas Rondaan Cegah Jenayah di Genting Sempah sempena Ops Selamat Tahun Baru Cina.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu lori, R Varatharajan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pekan Pahang dengan membawa muatan bungkusan makanan udang jenis serbuk yang setiap satu guni seberat 50 kg.

“Setibanya di tempat kejadian semasa melalui selekoh tajam ke kanan, lori tersebut dipercayai telah hilang kawalan menyebabkan muatan yang ada telah terjatuh lalu menghempap serta menimbus mangsa di lorong kiri hala sama.

“Akibat daripada kemalangan itu, lori tersebut kemudiannya telah hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sebelah kiri dengan kedalaman  400 meter dari lokasi kejadian,”katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mohamad Mansor berkata, kejadian itu telah menyebabkan Mohd Hafify Abu Bakar meninggal dunia di tempat kejadian akibat tertimbus oleh muatan yang jatuh manakala Zulkhairieey Zulkifli mengalami kecederaan patah di bahu kanan dan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan serta  menjalani ujian saringan air kencing dan keputusan yang diterima adalah negatif.

“Hasil siasatan mendapati pemandu tersebut mempunyai enam rekod saman termasuk dua waran manakala tiga rekod saman yang ada pada lori tersebut.

“Suspek kini telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan telah direman semula bermula hari ini sehingga 26 Januari ini diadakan akan dituduh dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, katanya, mayat mangsa telah dituntut oleh waris dan telah selamat dikebumikan jam 10.30 pagi di Kampar Perak.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.