TEMERLOH - Juadah claypot ikan patin tempoyak antara menu popular yang akan menjadi tumpuan pengunjung di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (Maha) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang bermula 22 November hingga 2 Disember depan.

Mengekalkan tema "Makanan Kita Masa Depan Kita", menu popular khususnya juadah tradisi dari setiap negeri ditawarkan kepada pengunjung.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya menyasarkan hampir 3.6 juta pengunjung dengan lebih 2,000 peserta mengambil bahagian.

Menurutnya, terdapat 501 menu dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak diketengahkan pada Maha kali ini.

"Claypot ikan patin antara yang ditawarkan. Selain itu, pais patin yang jarang dirasai di ibu kota turut boleh dirasai di pameran tersebut.

"Bagi yang belum merasai menu berasaskan patin boleh menggunakan peluang ini," katanya kepada media, semalam.

Beliau ditemui ketika lawatan kerja di Restoran Claypot Patin Tempoyak di Jalan Persiaran Damai 1, Temerloh yang turut dihadiri pengusahanya, Azlina Mohamad Remly.

Selain menu berasaskan patin, Pahang turut diwakili menu popular lain iaitu asam rom (Raub), puding raja (Pekan) dan kuih bakar durian (Kuantan).

Menu istimewa dari Temerloh, patin claypot.

Tegasnya, Pahang memiliki keistimewaan tersendiri kerana menggunakan ikan air tawar dan ulam-ulaman tempatan.

"Selain dapat memperkenalkan lokasi mereka, ia juga satu peluang buat pengusaha untuk melebarkan peluang perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengingatkan pengusaha supaya mempersembahkan cita rasa asli iaitu air tangan sendiri oleh pengusaha terbabit.

"Layanan mesra dan menawarkan harga berpatutan juga antara elemen yang perlu dititikberatkan oleh pengusaha terlibat.

Sementara itu, Azlina memberitahu, pihaknya menawarkan kelainan dengan mempelbagaikan menu seperti pais patin, sambal hitam dan sambal bilis tempoyak berbanding hanya patin tempoyak sebelum ini.

"Terima kasih Fama kerana terus memberikan peluang dan ruang menyertai Maha buat kali kedua," katanya lagi.