KUALA PILAH -  Polis mengesahkan tiada berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Seremban-Kuala Pilah di Terachi ketika hujan lebat petang tadi seperti tular dalam laman sosial petang tadi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok berkata, apa yang berlaku hanya limpahan lumpur di tengah jalan berhampiran Kampung Solok Paku sekaligus menganggu aliran trafik antara Kuala Pilah ke Seremban dan sebaliknya.

Beliau memberitahu, limpahan lumpur itu berlaku berhampiran tapak pembinaan naik taraf jalan raya di kawasan tersebut.

“Aliran trafik telah terhenti kira-kira dua jam sebelum pulih seperti sedia kala malam jam 7.30 malam.

“Pasukan bomba, polis dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan telah berada di lokasi untuk membersihkan lumpur dan memastikan keselamatan aliran trafik dan kini jalan telah dibuka kepada kenderaan bagi kedua-dua arah Kuala Pilah dan dari Seremban,” katanya.