BANDARAYA MELAKA - Melaka terus giat menarik lebih ramai pelancong datang apabila satu lagi penerbangan berjadual antara Melaka dan Indonesia dijangka akan mula beroperasi akhir bulan ini.

Langkah itu berikutan usaha kerajaan negeri untuk terus mempromosikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelancongan dalam kalangan penduduk Indonesia.

Timbalan Exco Pelancongan dan Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad bagaimanapun berkata, penerbangan itu akan bergantung kepada perbincangan antara Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan syarikat penerbangan terbabit.

Menurutnya, perbincangan berkenaan dijangka akan diadakan di Pekanbaru dalam masa terdekat dan sekiranya ia memberi kesan positif, penerbangan antara Melaka dan Bandung itu akan bermula bulan ini juga.

Mengikut perancangan awal, katanya, penerbangan itu dijangka akan menggunakan pesawat Boeing B737 dan akan membabitkan sebanyak tiga penerbangan setiap minggu.

“Sekiranya ini menjadi kenyataan, ia akan dapat membantu menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Melaka, termasuklah dalam sektor pendidikan,” katanya di sini.

Ketika ini, syarikat penerbangan Malindo Air serta Xpressair sudah mengendalikan penerbangan berjadual dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam ke beberapa destinasi di Indonesia, termasuk Pekanbaru.

Sementara itu, kerajaan negeri bersama Tourism Melaka akan mengadakan promosi pelancongan di Pekanbaru selama tiga hari mulai hari ini.

Selain bertujuan mempromosikan tarikan baharu di Melaka, program itu akan turut membolehkan Ketua Menteri mengadakan pertemuan dengan pemain industri pelancongan Indonesia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari negara berkenaan.

Untuk rekod, Melaka mencatatkan ketibaan seramai 359,937 pelancong dari Indonesia sepanjang enam bulan pertama tahun ini, menjadikan warga negara berkenaan golongan ketiga paling ramai melawat Melaka selepas warga China dan Singapura.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Penjenayah yang meragut telefon bimbit seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang sedang menunggu perkhidmatan Uber,di hadapan sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini ketika 7 September lalu, akhirnya dicekup.
  • KUALA LUMPUR - Datang ke ibu negara sebagai pelancong, namun sebenarnya melakukan jenayah memecahkan cermin kereta sebelum melarikan barang berharga.
  • JERANTUT - Persatuan Pencinta Burung Taman Negara (BGTN) merangka untuk membina sebuah menara pandang di Hutan Simpan Kekal Tembeling Tekal di sini sebagai usaha memperkenalkan Tembeling Hornbill Valley kepada pelancong seluruh dunia.
  • IPOH - Pengusaha pelancongan di Kuala Sepetang, Taiping diminta mengekalkan mutu perkhidmatan produk pelancongan walaupun kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan penyakit anjing gila pada 17 Julai lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.