SEREMBAN – Meskipun kebakaran Pasar Besar Seremban Sabtu lalu, hanya melibatkan tingkat satu bangunan berkenaan, namun aktiviti perniagaan di bahagian tingkat bawah turut terkena tempias.

Peniaga mendakwa sejak kejadian itu, jumlah pengunjung berkurangan menyebabkan aktiviti perniagaan mereka turut terjejas.

Malah tinjauan Sinar Harian semalam juga mendapati, bahagian parkir di pekarangan pasar itu turut ditutup kepada orang ramai.

Peniaga ayam, Azam Hassan, 54, berkata, jika sebelum ini dia boleh menjual sehingga 400 ekor ayam sehari, tapi sejak insiden malang itu, jualannya berkurangan sekali ganda.

Walaupun begitu, dia dan peniaga lain tetap meneruskan perniagaan seperti biasa kerana di situlah tempat mereka mencari rezeki.

“Terus terang bila saya dengar pasar ini hanya terbakar di tingkat atas, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami di tingkat bawah masih boleh berniaga seperti biasa.

“Tapi, nampaknya kami turut terkena tempias. Saya tak fikir pula untuk berniaga di tempat lain kerana sejak pasar ini dibuka di sinilah tempat saya cari rezeki.

“Macam hari ini (semalam) kawasan parkir ditutup, lagilah orang tak mahu datang. Saya pun tak pasti kenapa, hari ini bisnes saya memang teruk,” katanya.

Dia dan peniaga ayam lain yang datang ke pasar itu seawal jam 3 pagi terpaksa menggunakan lilin dan lampu suluh disebabkan ketiadaan bekalan elektrik.

Peniaga kedai runcit, K.Indra, 61, turut mengakui perkara sama dan beranggapan keadaan itu disebabkan ketiadaan elektrik.

“Mungkin orang ramai  ingatkan pasar ini tak beroperasi seperti biasa, sedangkan kami di tingkat bawah ada saja. Tapi bila macam ini, kami lebih banyak termenung.

"Walaupun terpaksa berniaga dalam gelap, tapi saya tetap buka kedai kerana inilah sumber pendapatan saya sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.

Sementara Aireen, 40, yang menjual sayur-sayuran memberitahu perniagaannya tetap berjalan seperti biasa, namun suasananya tidak lagi seperti dahulu.

Dia tetap berharap yang pasar terbabit dapat dipulihkan seperti sedia kala kerana di situlah ‘nadi’ kepada pasar-pasar lain di seluruh Seremban.

“Pasar ini sudah lebih 30 tahun dan telah jadi tumpuan ramai. Saya harap pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dapat membaik pulihnya segera,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pihak penyelenggara perlu bertanggungjawab terhadap insiden kebakaran Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, minggu lalu.
  • SEREMBAN - Pasar Besar Seremban di sini masih beroperasi seperti biasa walau pun tingkat atas ditutup sepenuhnya akibat kebakaran yang berlaku Sabtu lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.