PORT DICKSON - Port Dickson terus menjadi destinasi utama pelancongan negara apabila mencatatkan jumlah peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 4.2 juta tahun lalu berbanding 2015.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim berkata, secara keseluruhan seramai 6.3 juta pelancong dicatatkan berkunjung ke Negeri Sembilan pada 2016 dan kira-kira 70 peratus daripadanya datang melancong ke Port Dickson.

Menurutnya, statistik itu dikeluarkan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) yang turut menunjukkan saban tahun pantai peranginan itu terus menyumbang kepada sektor pelancongan negeri.

"Daya tarikan utama Port Dickson sudah pastinya pantai yang landai. Di sini kita punyai lapan pantai yang boleh dilakukan pelbagai aktiviti riadah sekali gus memberi banyak pilihan kepada pelancong untuk bersantai.

"Keadaannya sentiasa penuh pada setiap kali musim cuti. Tahun ini pula kita yakin jumlah itu akan meningkat apabila banyak produk pelancongan baru diwujudkan antaranya perkhidmatan cruise. Ia membolehkan pengunjung menikmati pelayaran singkat di perairan Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui baru-baru ini.

Zamri menambah, kewujudan produk pelancongan baharu itu dilaksanakan dengan kerjasama antara persatuan hotel, MPPD dan juga penggiat swasta industri pelancongan.

"Semakin banyak produk pelancongan diwujudkan dan dipromosikan dengan baik, memberi peluang lebih besar untuk dikunjungi pelancong.

"Selain itu, faktor kebersihan juga menjadi tarikan utama orang ramai memilih Port Dickson sebagai destinasi pelancongan mereka ditambah dengan pelbagai kemudahan seperti penginapan, makanan dan sebagainya,” katanya.

Ujar Zamri, pelancong luar negara seperti China dan Taiwan juga dikenal pasti antara yang paling ramai mengunjungi Port Dickson.

"Sudah semestinya sebagai PBT (pihak berkuasa tempatan), MPPD akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan memastikan produk pelancongan terus dijaga serta digilap.

"Kita juga akan cari atau tambah lagi produk pelancongan baru dan jalin kerjasama dengan pelbagai pihak. Ini penting bagi memastikan pengunjung punyai banyak pilihan destinasi pelancongan selain pantai ketika mereka berkunjung ke daerah ini," katanya.

Selain diiktiraf sebagai pantai peranginan negara, Port Dickson juga diiktiraf sebagai Bandar Tentera Darat dan PD Wellness Zone.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - [VIDEO] Seramai 110 termasuk 98 pelancong yang terkandas di Pulau Tioman sejak Khamis lalu dibawa ke Kuantan menggunakan kapal KD Terenggganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
  • PULAU TIOMAN - Ekoran perkhidmatan feri ke Pulau Tioman yang dihentikan akibat laut bergelora, seramai 87 pelancong terkandas di pulau peranginan terkenal itu.
  • KOTA TINGGI - Lima wanita warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan dekat Bandar Penawar disini antara yang ditahan dalam Op Noda, awal pagi tadi.
  • BANDARAYA MELAKA - Seramai 8,000 pelancong dari Wilayah Utara India dijangka membanjiri negeri ini mulai 19 Januari depan hasil usaha promosi kerajaan negeri dalam mencari pasaran baharu destinasi pelancongan antarabangsa.
  • PORT DICKSON - Fenomena belalai air berlaku sekitar jam 10.30 pagi semalam di perairan Port Dickson.