JASIN - Orang Kampung (OK) Group Sdn Bhd kesal dengan penyebaran kenyataan palsu dan fitnah berkenaan syarikat itu yang dikesan mula berlaku sejak Mei lalu.

Pengarah Urusannya, Habibul Ajmi Manggar, berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti enam akaun di media sosial Facebook yang menyiarkan berita tidak sahih dan dianggap sebagai kenyataan tidak berasas.

“Keenam-enam laman media sosial itu menyiarkan berita bahawa produk syarikat kami dimiliki ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Robert Kuok sedangkan ia tidak pernah berlaku.

“Sedangkan perniagaan diasaskan Allahyarham Datuk Manggar Haniff sejak Mei 1994 masih diteruskan ahli keluarga sehingga sekarang,” katanya pada sidang media penerangan dan menjawab kepada beberapa kenyataan palsu tersebar baru-baru ini di Wisma OK Group, Serkam, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenyataan keenam-enam pautan Facebook tersebut mengandungi kenyataan yang salah selain fitnah berkenaan menjejaskan imej syarikat serta memudaratkan aliran pendapatan dan keuntungan syarikat.

“Kami juga meminta semua pemilik akaun laman sosial berkenaan membuat kenyataan termasuk permohonan maaf melalui surat tuntutan dikemukakan melalui peguam Damian Yeo daripada syarikat guaman, Damian SL Yeo & LC Goh,” katanya.