• Nur Qaseh kerap lakar gambar adik Salbiah bermesra dengan Nur Qaseh sambil diperhatikan Banee Yamin dan isteri, Rafeah ketika menerima kunjungan beliau bersama rombongan Pekerti dan NCWO ke rumahnya di Taman Bak
1 /

SEREMBAN – “Setiap hari apabila balik dari tadika, Nur Qaseh akan duduk sendirian di atas katil dan mengambil pen untuk melakar lukisan gambar kami sekeluarga, lebih-lebih lagi gambar arwah adiknya,” demikian kata Rafeah Zainal Abidin, 35, ibu kepada arwah Nurdamia Husnina, bayi berusia setahun enam bulan yang maut akibat terkena bilah helikopter dalam kejadian yang berlaku 20 Mac lalu.

Menurut Rafeah, kedua-dua anaknya, Mohd Arif Hakimi, 11, dan Nur Qaseh Hanisa, 6, memang rapat dengan arwah adik mereka.

“Kedua-dua mereka selalu cakap rindu pada adik selepas kejadian berlaku. Mereka memang ada di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) dan tengok sendiri keadaan adik mereka ketika itu,” katanya ditemui di rumah mereka ketika menerima kunjungan isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin bersama rombongan Persatuan Kebajikan Isteri-isteri
Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Negeri Sembilan di Paroi, petang kelmarin.

Dalam kunjungan tersebut, Salbiah menyampaikan sumbangan peribadi selain sumbangan Pekerti dan NCWO kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, memang banyak perubahan yang berlaku pada setiap anggota keluarganya selepas pemergian arwah Nurdamia.

“Kadang-kadang, saya juga ternampak suami cuba melepaskan rindunya dengan melihat gambar arwah pada telefon bimbit,” katanya.

Berhubung dengan keadaan suaminya yang turut cedera parah di kepala akibat kejadian itu, dia berkata, suaminya masih menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Ampangan dan HTJS selain menerima rawatan kaunseling.

Berkenaan tindakan yang bakal diambil berikutan kecuaian yang berlaku, Rafeah berkata, biar masa yang menentukan.