MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan membentangkan Bajet 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka yang dijadualkan pada Isnin depan (27 November), kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata kerajaan negeri turut akan mengumumkan 'goodies' untuk rakyat Melaka termasuk kepada lebih 4,000 kakitangan awam di seluruh negeri.

Katanya peruntukan bajet itu mempunyai fokus utama bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri ini dalam usaha untuk mensejahterakan rakyat.

"Oleh itu kita sama-sama tunggu apakah berita baik yang akan diumumkan oleh kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri itu tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat pihak yang ingin meraikan pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang disifatkannya sebagai suntikan motivasi.

"Kita meraikan pelajar cemerlang untuk memotivasikan mereka di samping memotivasikan pelajar yang kurang cemerlang agar menggiatkan lagi usaha untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Meskipun meraikan pelajar cemerlang merupakan tradisi sebagai motivasi supaya mereka berasa dihargai dan terus cemerlang dalam pelajaran namun saya menyerahkan kepada mereka sama ada untuk meneruskan majlis seumpama itu atau pun tidak," katanya.

Keputusan UPSR 2017 akan diumumkan esok.

Mengulas mengenai isu struktur binaan tanpa kelulusan di Kampung Portugis yang menjadi tular di laman sosial, beliau meminta semua pihak supaya tidak mensensasikan isu tersebut dan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Belanjawan Kelantan 2018 menyaksikan perbelanjaan defisit iaitu RM41.74 juta iaitu menurun berbanding defisit 2017 berjumlah RM42.65 juta.
  • SHAH ALAM - Bukan semua rakyat Selangor menerima manfaat daripada Belanjawan Selangor dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana peruntukan yang ada, lebih kecil daripada Bajet 2018 Kerajaan Persekutuan.
  • SHAH ALAM - BN mengharapkan Belanjawan 2018 Selangor yang akan dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali benar-benar sebuah bajet inisiatif kerajaan negeri.
  • GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM 1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun lepas.