KUALA PILAH - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru rakyat agar  sentiasa memastikan kedamaian dan keharmonian dikekalkan, supaya pembangunan negeri dapat berkembang dengan baik.

Titah baginda  sesebuah negara tidak mungkin berkembang dan mengecapi pembangunan sekiranya berada dalam keadaan kucar-kacir dan tidak menentu.

“Alhamdulillah, sepanjang beta bersemayam, kedamaian dan keharmonian di Negeri Sembilan dapat dirasai manakala setiap rakyatnya berada dalam keadaan sejahtera dan menjalani kehidupan dengan aman damai dalam kepelbagaian resam dan budaya.

"Kedamaian dan keharmonian yang dikecapi telah membolehkan kerajaan beta menjalankan usaha membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat," titah baginda  pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan bersempena hari keputeraan baginda yang ke-70, di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani  Tengku Besar Mahmud. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumuddin serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan rasa bangga kerana walaupun  ekonomi global berada dalam keadaan ketidaktentuan,  ekonomi negeri berkembang dan berada di landasan yang tepat dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Benar  dan KDNK per kapita  mencatatkan peningkatkan yang membanggakan saban tahun.

Baginda juga mahu pembangunan negeri dilakukan secara  inklusif iaitu merangkumi pembangunan di semua daerah dalam Negeri Sembilan agar kesannya dirasai oleh masyarakat bandar dan luar bandar khususnya dari segi penawaran peluang pekerjaan.

"Melalui pelaksanaan pelan-pelan pembangunan tersebut, beta yakin taraf ekonomi akan dapat ditingkatkan selain dapat mengelakkan penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar," titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah kerajaan negeri di bawah prinsip mensejahterakan rakyat telah memberikan fokus bagi memastikan tiga elemen asas kehidupan masyarakat sentiasa diutamakan iaitu keperluan pendidikan, tempat tinggal, dan bantuan kepada yang kurang berkemampuan melalui Dasar Lembah Ilmu, Dasar Perumahan Negeri Sembilan dan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial.

"Beta berharap supaya dasar-dasar yang mensejahterakan rakyat ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan serta diwujudkan dasar-dasar baharu demi kemaslahatan masyarakat secara keseluruhan," titah baginda.

Tuanku Muhriz turut menyeru setiap rakyat menghormati amalan agama dan budaya yang dianuti oleh setiap kaum untuk memastikan kedamaian dan keharmonian yang ada dikekalkan.

"Golongan muda yang ada pada hari ini perlu dididik dengan pengetahuan moral yang baik agar mereka sentiasa dipupuk untuk hormat-menghormati dan hidup bersatu padu," titah baginda.

Pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran hari ini, anakanda baginda Tuanku Zain Al-A’bidin mendahului  143 penerima lain dengan pengurniaan Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM). 

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said dan aktivis keamanan dunia Datuk Dr Ronald Mc Coy masing-masing dianugerahi Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS)  yang membawa gelaran Datuk Seri.

Terdahulu, istiadat dimulakan dengan perbarisan dan kawalan kehormatan oleh 71 Rejimen Semboyan Diraja dari Kem Perdana Sungai Besi  yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota lain-lain pangkat, diketuai oleh Mejar Nik Mohd Syakri Nik Yusof.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Kerajaan negeri sudah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan supaya dapat menempatkan sebuah hospital kerajaan di Nilai.
  • SABAK BERNAM - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaan Sauyah Konek yang masih cekal menjaga anaknya pada usia 76 tahun tanpa pernah mengeluh.
  • KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri menyiasat aduan orang ramai berkenaan satu keluarga yang tidur di bawah jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan.
  • KUALA TERENGGANU - Empat atau lima kes daripada 10 permohonan cerai sehari yang difailkan pasangan suami isteri di negeri ini adalah disebabkan media sosial termasuk WhatsApp yang digunakan secara tidak bertanggungjawab.
  • RANTAU PANJANG - Masalah liputan komunikasi yang berlanjutan sejak puluhan tahun lalu, bakal berakhir selepas pembinaan lima menara komunikasi di Rantau Panjang.