GEMAS - Hajat seorang kanak-kanak untuk menjala ikan bersama empat rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia tergelincir dan lemas dalam Sungai Gemencheh di Rumah Pam, Kampung Bangkahulu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.22 petang itu, mangsa, Amjad Arshad, 12, dikejarkan oleh jentera Emrs ke Klinik Kesihatan (KK) Gemas sebaik ditemui pada 4.45 petang oleh pasukan bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abas, mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasinya tergelincir di dalam sungai.

"Insiden berkenaan disedari oleh kakitangan rumah pam berkenaan apabila terdengar bunyi bising suara kanak-kanak dan mengetahui ada kanak-kanak terjatuh sungai.

"Kakitangan berkenaan segera menghubungi bomba. Ketika kejadian air sungai deras, dalam serta berpusar," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, tadi.

Syed Ammar berkata, mangsa ditemui tenggelam di dalam sungai berkenaan dan sebaik ditemui mangsa segera dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan.

"Mangsa bagaimanapun, disahkan maut di klinik kesihatan oleh pasukan paramedik," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Mayat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di Sungai Plentong dekat Kampung Sri Makmur, di sini, dua hari lepas ditemui kira-kira 10 Kilometer dari tempat mangsa jatuh.
  • JOHOR BAHRU - Seorang daripada dua pemancing yang dilaporkan hilang setelah bot mereka karam di Batuan Tengah, dekat Kota Tinggi, Ahad lepas (10 Dis), ditemukan lemas, petang semalam.
  • JOHOR BAHRU - Operasi cari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai lemas di Sungai Plentong Kampung Sri Makmur, di sini, semalam disambung semula kira-kira jam 8 pagi tadi.
  • ALOR SETAR - Seorang pekerja kimpalan berumur 22 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Jalan Alor Mengkudu di sini hari ini.