KUALA KLAWANG - Seramai 637 bekas polis di daerah Jelebu yang pernah bertugas semasa zaman darurat menerima sagu hati khas sebanyak RM3,000.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, bilangan itu paling ramai berbanding daerah lain di negeri ini.

Menurutnya, seramai 3,084 bekas polis di negeri ini layak me­nerima sagu hati khas tersebut berdasarkan lapan kriteria yang digariskan.

“Bayaran ini layak diberikan kepada bekas polis yang pernah bertugas semasa darurat di antara 1948 hingga 1962 bagi Semenanjung.

“Manakala bagi Sabah dan Sarawak adalah di antara 1962 hingga 1974. Mereka ini dibahagi kepada lapan kategori iaitu Special Constabulary (SC), Home Guard (HG), Auxiliary Police (AP), Extra Police Constable (EPC), Border Scout (BS), Jungle Souut/Squad (JS), Police Field Force Reservist (PFFR) dan Sarawak Constabulary (SWC),” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Osman men­yampaikan cek sagu hati kepada 567 bekas polis yang hadir daripada 637 penerima di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusof dan Ketua Cawangan Khas Daerah Jelebu, ASP Mohd Rizal Melim.

Osman berkata, pengesahan kelayakan dilakukan melalui sijil tamat perkhidmatan dan sijil lantikan yang dikeluarkan kerajaan.

Menurutnya, pemohon yang tidak mempunyai dokumen so­kongan diperlukan perlu men­gemukakan surat akuan bersumpah berserta pengesahan dua saksi pernah berkhidmat sebagai anggota polis pada zaman darurat.

“Jika penerima (anggota) meninggal dunia, sagu hati khas ini akan diberikan kepada balu atau suami yang masih hidup. Tetapi jika kedua-dua meninggal dunia, wang ini tidak akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata, bagi balu atau suami kepada penerima meninggal dunia, mereka boleh menuntut sagu hati tersebut dengan menyerahkan borang akuan status pemohon yang disahkan oleh ketua polis balai berdekatan atau ketua kampung.

“Manakala baki bekas polis yang memenuhi syarat kelayakan boleh membuat permohonan dengan menggunakan borang TAWP 6A yang boleh didapati secara percuma dan boleh diambil dari semua cawangan Persatuan Bekas Polis Malaysia, semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negara, Bahagian Hal Ehwal Bekas Anggota Polis dan Penjara serta Pejabat Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Katanya, tindakan itu bertujuan mempercepatkan proses pem­bayaran dan pihak kementerian akan mengenal pasti bekas anggota polis yang layak berdasarkan Sistem Maklumat Bekas Anggota Polis.

“Terdapat tiga kaedah pem­bayaran sagu hati tersebut iaitu penyerahan oleh menteri atau timbalan menteri berkaitan, menerusi Ibu Pejabat Polis Negeri dan Daerah serta Pos Laju berdaftar berdasarkan alamat yang dikemukakan pemohon,” katanya.