SEREMBAN - Kerajaan negeri berjanji akan menyelesaikan isu kuil di Taman Bandar Senawang dekat sini dalam tempoh enam bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, isu kuil itu telah membelenggu penduduk sekitar, yang majoritinya penduduk Melayu, sejak empat tahun lepas.

“Antara isu yang dihadapi penduduk sekitar ialah bunyi loceng yang dianggap terlalu kuat dan berdurasi agak lama.

“Jadi, antara penyelesaian yang dicadangkan ialah meninggikan tembok di sekeliling kuil itu untuk mengurangkan aliran bunyi,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama penduduk setempat, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar dan Adun Seremban Jaya, P. Gunasekaran.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak kuil untuk bersama-sama mengatasi masalah ini sebelum ia menimbulkan perbalahan antara sesama masyarakat.

“Saya gembira masalah ini diselesaikan dengan baik kerana walaupun 95 peratus penduduk di sini adalah Melayu, mereka tidak bertindak agresif seperti menutup kuil dan sebagainya,” katanya. - Bernama