MELAKA - Kaki ponteng puasa segera cabut lari sebaik menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang membuat pemantauan pada hari pertama bulan Ramadan hari ini.

Kejadian, ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian bersama sepasukan 12 anggota penguat kuasa Jaim ‘Operasi Cegah’ Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Ia membabitkan premis makanan dan minuman milik bukan Islam di kawasan Tangga Batu yang didakwa sering dijadikan sebagai port oleh kaki ponteng puasa setiap tahun.

Operasi dilancarkan seawal jam 9 pagi membabitkan kawasan di Pulau Gadong, Klebang, Bukit Rambai, Sungai Udang, Tanjung Kling dan Bukit Baru.

Tinjauan di sebuah kedai kopi di Klebang mendapati, terdapat bau kuat asap rokok namun tiada saksi boleh mengesahkan sekumpulan dewasa di situ, ponteng puasa.

Senario menarik juga dapat dilihat di sebuah warung di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, yang diusahakan pengusaha beragama Islam, pada jam 10 pagi, apabila sekumpulan tiga lelaki dewasa yang masing-masing meletakkan kotak rokok dan pemetik api di atas meja.

Namun kesemuanya menafikan mereka tidak berpuasa, sedangkan puntung rokok masih berasap seolah-olah baru dibuang ditemui di lantai warung itu.

Selain itu, warung-warung diusahakan masyarakat bukan Islam turut dikesan, menempatkan ruang makan rahsia di bahagian belakang premis mereka, dipercayai menjadi ‘port’ golongan yang ponteng puasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Datuk Rahimin Bani berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan harian sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, hari pertama pemantauan di sekitar Melaka Tengah hari ini, sebanyak 20 lokasi di periksa namun pihaknya tidak mengeluarkan sebarang saman dan tiada tangkapan dibuat.

“Kita harap pengusaha warung atau kedai kopi mematuhi arahan membuka warung mereka selepas jam 3 petang.

“Malah, dilarang sama sekali menjual makanan kepada yang beragama Islam sebelum waktu dibenarkan,” katanya.

Rahimin turut mengingatkan orang Islam yang makan dan minum secara terbuka boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 49 enakmen terbabit dan sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.

Manakala bagi kesalahan kali kedua, boleh dikenakan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara, atau kedua-duanya.

Jaim turut menampal sebanyak 17 poster peringatan kepada orang ramai tentang hukuman ponteng puasa.

Dalam pada itu, Rahimin berkata, pihaknya turut menerima laporan terdapat segelintir pengusaha premis makanan bukan Islam menyediakan ruang khas tersorok untuk umat Islam yang ponteng puasa.

Justeru, jelas beliau, pihaknya bercadang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengkaji semula pengeluaran lesen pengusaha makanan yang enggan mematuhi larangan menjual makanan kepada umat Islam pada siang hari.