MELAKA TENGAH - Jabatan Kerja Raja (JKR) Melaka serta beberapa agensi lain di negeri ini diarah menjalankan pemeriksaan segera ke atas semua jambatan di negeri ini bagi memastikan ia selamat digunakan serta tidak membahayakan nyawa pengguna.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan  pemeriksaan dan pemantauan ini.

Katanya, arahan bertujuan memastikan tragedi jambatan roboh di Kedah yang mengorbankan dua nyawa beberapa hari lalu tidak berlaku di negeri ini.

“Saya minta semua agensi ini membuat pemeriksaan dalam masa terdekat ini bagi memastikan semua jambatan sedia ada selamat digunakan dan tiada sebarang risiko akan runtuh.

“Saya akan laporkan kepada umum serta media hasil pemeriksaan dan pemantauan ini nanti dalam usaha memberi keyakinan kepada semua bahawa jambatan di Melaka adalah selamat untuk digunakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Untuk rekod, jambatan di jalan persekutuan dan negeri adalah di bawah tanggungjawab JKR, manakala jambatan di taman perumahan adalah tanggungjawab PBT.

Bagi jambatan di kampung pula ia adalah di bawah kelolaan Pejabat Daerah dan jambatan di jalan tepi sungai pula berada di bawah selaian JPS.

Mohd Sofi berkata, sebarang kemalangan, termasuk kehilangan nyawa, boleh dielakkan sekiranya semua pihak peka terhadap risiko yang bakal berlaku.

“Kita tidak boleh berkompromi kerana ini melibatkan nyawa rakyat.

“Sebagai kerajaan, kita mesti sentiasa mencari langkah pencegahan atau pembaikan bagi memastikan kejadian seperti itu dapat dielakkan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, agensi terbabit juga diarahkan untuk memeriksa binaan lain yang berpotensi menyebabkan risiko kemalangan.

Selasa lalu, dua remaja berusia 17 tahun maut selepas motosikal dinaiki terjatuh ke dalam mendapan tanah sebelum ditimbus runtuhan di Jalan Taman Serdang, Bandar Baharu, Kedah.

Mangsa, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor dan Mohamad Haziq Ishak, meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan sedalam 0.3 meter.