JASIN - Usaha Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk menjalankan usaha meningkatkan kefahaman murid sekolah dalam daerah ini mengenai bahaya aedes dan denggi adalah tindakan yang baik.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesedaran awal wajar diberikan kepada murid bagi memastikan langkah berjaga-jaga dapat diambil.

“Kita yakin inisiatif ini baik dilaksanakan demi kepentingan anak-anak yang masih kecil.

“Mereka antara golongan yang berisiko mendapat denggi dengan mudah kerana sering terdedah kepada tempat pembiakan aedes kerana tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

“Usaha pihak berkenaan dipercayai mampu membantu anak-anak ini lebih berhati-hati, sekali gus mengurangkan risiko dijangkiti denggi apabila mereka mempunyai lebih ilmu berkaitan,” katanya.

Jelasnya, tidak hanya anak-anak, sebaliknya ibu bapa akan menjadi lebih peka apabila program tersebut diadakan dengan konsisten.

“Usaha pihak sekolah pastinya melibatkan ibu bapa kerana anak-anak mereka adalah golongan sasaran atau matlamat kepada program ini.

“Secara tidak langsung mereka turut mendapat manfaat daripada aktiviti yang disusun menerusi program tersebut,” katanya ketika mempromosikan program Denggi Patrol bersama Adun Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan Penyelaras program Denggi Patrol 2017, SK Air Baruk, Gobindaran Aru Chunan, baru-baru ini.

Sementara itu, Gobindaran berkata, beliau mewakili pihak sekolah berterima kasih kepada Idris kerana membantu mempromosikan program tersebut kepada masyarakat sekeliling.

“Sokongan beliau sangat dihargai kerana ia menjadi jambatan kepada kerja,” katanya.