SEREMBAN - Pasar Besar Seremban di sini masih beroperasi seperti biasa walau pun tingkat atas ditutup sepenuhnya akibat kebakaran yang berlaku Sabtu lalu.

Tinjauan Sinar Harian ke pasar tersebut semalam mendapati keadaan lengang tanpa kehadiran pengunjung disebabkan kejadian kebakaran itu.

Rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana perniagaan mereka terjejas lebih 70 peratus berbanding sebelumnya.

Peniaga sayur, Azman Baharim, 56, berkata, jika sebelum ini hasil jualannya boleh habis selewat-lewatnya jam 12 tengah hari, tetapi kini banyak sayurnya tidak laku.

“Orang ramai perlu tahu kami di bahagian bawah ini menjalankan operasi perniagaan seperti biasa, malah tidak pernah tutup sekali pun,” katanya,

Tambahnya, orang ramai keliru apabila sebahagian jalan utama ke pasar ini ditutup dan tidak dibenarkan masuk menyebabkan mereka menyangka Pasar Besar Seremban tidak lagi beroperasi.

Dalam pada itu, peniaga ayam daging, Ratna Syukur, 62, berkata, sejak kebakaran berlaku lima hari lalu, mereka di bahagian bahan mentah, ayam, daging, dan ikan tidak pernah menutup operasi perniagaan masing-masing.

Menurut Ratna, mereka tetap berniaga seperti biasa walaupun terpaksa menggunakan cahaya lilin.

“Perniagaan terjejas teruk sebab orang tak masuk lagi kat sini sejak terbakar hari tu, orang luar ingat pasar telah ditutup, tetapi sebenarnya kita masih buka seperti biasa.

“Pihak PBT cuma tutup kawasan parkir dan laluan utama sahaja, itu pun untuk memberi ruang kepada peniaga tingkat atas berniaga di luar, tapi pasar basah kita buka seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, operasi perniagaan di Pasar Besar Seremban berjalan seperti biasa seawal jam 6 pagi sehingga 2 petang, dan sebelah malam untuk jualan pemborong.

Sementara itu, kawasan parkir yang akan dijadikan sebagai tempat perniagaan sementara masih lagi tidak dibuka.

Khemah juga masih belum dipasang dan tandas bergerak yang dijanjikan sebelum ini juga masih belum kelihatan.

Difahamkan, pihak PBT masih lagi menunggu peniaga untuk berdaftar sepenuhnya sebelum kerja-kerja pemasangan khemah dibina.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pihak penyelenggara perlu bertanggungjawab terhadap insiden kebakaran Pasar Besar Seremban di Jalan Tun Dr Ismail, di sini, minggu lalu.
  • SEREMBAN - Meskipun kebakaran Pasar Besar Seremban Sabtu lalu, hanya melibatkan tingkat satu bangunan berkenaan, namun aktiviti perniagaan di bahagian tingkat bawah turut terkena tempias.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.