BANDARAYA MELAKA - Syarikat buat keuntungan berjuta-juta tetapi bila nak tuntut RM1,500 pun susah.

Ini antara keluhan nelayan terhadap syarikat yang bertanggungjawab bagi pembinaan jambatan baharu di Sungai Klebang, di sini, apabila enjin botnya ranap akibat terlanggar serpihan cerucuk besi yang masih tertanam di atas tapak bekas jambatan sementara, awal Januari lalu.

Nelayan terbabit, Nordin Mohd Yusof, 67, berkata, sehingga kini syarikat itu masih berdolak-dalik soal tuntutan ganti rugi meskipun ia dipersetujui ketika mengadakan perbincangan bersama Adun Kawasan, Datuk Lim Ban Hong, sebelum ini.

“Bila saya hubungi, wakil syarikat itu di Melaka, mereka minta telefon pejabat di Kuala Lumpur, tetapi bila hubungi syarikat di Kuala Lumpur, mereka kata tanya pejabat di Melaka. Mana satu yang betul, akhirnya saya jadi macam bola.

“Saya sampai pinjam duit orang untuk baiki enjin bot yang kosnya mencecah RM1,500 malah salinan resitnya pun saya dah serahkan pada syarikat terbabit.

“Hari ini saya terdesak sebab perlu bayar balik wang yang saya pinjam, kalau tak pinjam saya pun tak dapat ke laut, sedangkan itulah satu-satunya mata pencarian saya,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Warisan di sini, semalam.

Nordin juga menjelaskan, Adun Kawasan Klebang, Datuk Lim Ban Hong, sebelum ini ada menawarkan untuk membiayai kos berkenaan, sementara menantikan ganti rugi itu dijelaskan syarikat terbabit.

“Tetapi saya menolak atas alasan tidak mahu menyusahkan pemimpin itu, sebab selama ini beliau sudah banyak membantu,” katanya.

Sementara itu, Ban Hong ketika dihubungi berkata, pihaknya turut kesal dengan syarikat terbabit yang dianggap seolah-olah umpama mahu mengelak daripada membayar ganti rugi tersebut.

“Tetapi apa pun buat sementara, saya minta nelayan terbabit supaya menerima tawaran untuk kita dahulukan bayaran membaiki bot yang telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Sinar Harian awal Januari lalu melaporkan seorang nelayan mendakwa, nyawanya hampir terancam malah enjin bot yang dikemudinya turut pecah selepas terlanggar salah satu serpihan cerucuk besi bekas jambatan sementara di muara Sungai Klebang, di sini.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang sewaktu nelayan terbabit, Nordin Mohd Yusof, 67, memasuki muara Sungai Klebang sebaik pulang dari menangkap ikan pada awal  Januari.