MELAKA – Kerajaan baharu negeri Melaka pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Belanjawan 2019 melibatkan peruntukan berjumlah RM382.23 juta dengan lebihan RM2.06 juta, sekali gus mencatatkan belanjawan lebihan ke-15 berturut-turut sejak tahun 2005.

Belanjawan sulung sejak mengambil alih kerajaan negeri Mei lalu, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil RM284.28 juta pada tahun depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, jumlah belanjawan yang disediakan pada tahun depan turut menyaksikan peningkatan peruntukan 2.29 peratus berbanding Belanjawan 2018 berjumlah RM373.67 juta.

Beliau berkata, belanjawan itu merangkumi perbelanjaan mengurus yang terbahagi kepada dua iaitu perbelanjaan bekalan RM369.16 juta dan perbelanjaan tanggungan RM13.06 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM384.29 juta pada tahun depan.

Katanya, daripada perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM106.07 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap; perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta); aset (RM3.26 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM95.56 juta) serta lain-lain (RM2.58 juta).

"Ini merupakan belanjawan sulung kerajaan PH yang bakal mencorakkan negeri Melaka ke arah Negeri Berwibawa selepas 61 tahun belanjawan dibentangkan oleh kerajaan terdahulu," katanya ketika berucap membentangkan belanjawan negeri di Persidangan Dun Melaka .

Adly berkata, perbelanjaan kali ini dilakukan secara berhemah, mengurangkan pembaziran dan mengatasiisu-isu berkaitan komitmen kewangan kerajaan negeri tanpa menjejaskan kebajikan takyat.

Beliau berkata, daripada anggaran kutipan hasil, sebanyak RM149.41 juta merupakan hasil cukai, hasil bukan cukai (RM172.73juta) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM62.14 juta.

"Kutipan hasil dijangka meningkat RM4.53 juta atau 2.95 peratus lebih tinggi berbanding anggaran kutipan hasil pada 2018. Mengambil kira jumlah hasil melebihi jumlah perbelanjaan kerajaan negeri membentangkan bajet lebihan," katanya.

Beliau berkata belanjawan itu digubal berlandaskan tiga strategi utama iaitu merangsang ekonomi negeri bagi memperkukuh kualiti hidup rakyat, meneruskan agenda sosial serta pembangunan negeri dan memperkasa pembangunan modal insan.

Adly berkata, bagi menyanjung tinggi kesetiaan kakitangan awam negeri, kerajaan memberi bantuan khas sebanyak RM500 yang akan dibayar Disember ini. - Bernama