MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri akan meneruskan usaha kerajaan terdahulu untuk tidak mengenakan sebarang caj tambahan beg plastik sebanyak 20 sen kepada pengguna.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew, berkata, pemilik lesen dilarang sama sekali mengenakan sebarang caj terhadap pembungkusan kepada pengguna menerusi syarat tambahan dalam permohonan lesen perniagaan dikeluarkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka.

"Pemegang lesen juga tidak dibenar menaikkan harga barang terhadap pembungkusan. Perkara ini akan dipantau secara berterusan PBT bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga dan mengalihkan tanggungan kos tersebut kepada pengguna terutama rakyat Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) berhubung adakah kerajaan negeri akan mengikuti kerajaan Selangor mengenakan caj bayaran 20 sen untuk beg plastik.

Kok Kiew (Banda Hilir) berkata, selain itu kerajaan negeri akan menetapkan satu penyelarasan penggunaan beg plastik biodegradasi yang terdapat logo Sirim bagi memastikan hanya plastik yang mematuhi piawaian yang ditetapkan dibenarkan untuk digunakan di premis-premis besar mahupun kecil di seluruh Melaka.

"Dengan adanya logo SIRIM itu kita akan dapat bezakan plastik yang mudah terlarut (biodegradsilbiodegradsi) atau sebaliknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan bersama Sirim membuat pemantauan kepada semua pengilang plastik sebagai langkah prokatif supaya standard itu dipatuhi," katanya.