SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan mengambil tindakan terhadap syarikat termasuk pemandu lori tangki membawa muatan bahan kimia yang bocor di hadapan kilang SKF di Nilai, kelmarin, sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku unsur kecuaian.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian kebocoran lori tangki melibatkan cecair bahan kimia sehingga mengalir ke dalam sungai.

Menurutnya, ujian contoh air sungai telah pun diambil untuk tindakan lanjut bagi memastikan tiada berlaku pencemaran di sungai berkenaan, namun keputusan belum boleh disahkan lagi.

“Hasil siasatan awal mendapati bahan kimia tersebut adalah jenis waste solvant dan coolant, yang mana jika ia dilepaskan dalam sungai boleh menyebabkan ikan mati.

“Kita memandang serius dengan apa yang berlaku, saya berharap semua pengusaha pengangkutan yang membawa bahan kimia termasuk kilang terlibat, mengikut segala SOP kerja yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 34(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Kelmarin, sebuah lori tangki yang membawa muatan cecair kimia bocor di hadapan kilang SKF di Nilai.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, lori yang dalam perjalanan ke Pasir Gudang terhenti, apabila kepala lori terpisah dengan bahagian badan sewaktu membelok.

Akibat daripada kejadian tersebut berlaku hentakkan dan kebocoran di bahagian pin lori tangki berkenaan sehingga menyebabkan lebih 20,00 liter bahan kimia itu mengalir ke longkang yang kemudiannya mengalir ke sungai.

[ARTIKEL BERKAITAN:Lori tangki terbalik, bahan kimia mengalir ke longkang]