JELI - Seorang warga emas maut apabila motosikal dinaiki bertembung Hilux dalam kejadian di Kampung Rantau Manis, Kuala Balah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira- kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Ramli Kasim, 64 dikatakan dalam perjalanan pulang dari dusunnya di Kampung Tuit yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya.

Isteri mangsa, Hasnah Mahmood, 63 berkata, allahyarham suaminya keluar dari rumah mereka kira- kira jam 8 pagi sebagai mana rutin hariannya.

"Kebiasaannya mak cik ikut bersama, tapi hari ini tidak, biarpun hati teringin untuk pergi.

"Arwah pun tak ajak, biasanya dia tanya dan ajak bersama," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jeli di sini, hari ini.