KUALA KRAI - Seorang warga emas yang juga penoreh getah maut ketika pulang menjual getah sekerap di Jalan Dabong-Kemubu, petang semalam.

Mangsa,Mohd Yusof Yaakob 64,yang cedera pada bahagian dada meninggal dunia di Klinik Kesihatan Dabong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj berkata,mangsa yang menunggang motosikal terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis Iswara.

Menurutnya,hasil siasatan awal polis mendapati ketika kira-kira jam 3 petang,mangsa menunggang motosikal ke arah Dabong.

"Apabila tiba di tempat kejadian pemandu kereta Iswara dipercayai gagal mengawal kenderaan menyebabkan kereta dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal mangsa.

"Berikutan perlanggaran itu,mangsa cedera dan dihantar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Dabong," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.