GUA MUSANG -  Umno Dun Paloh berjaya mengumpul RM1,500 sebagai usaha membantu membayar ikat jamin dan kos guaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Adun Paloh, Amran Ariffin berkata, wang tunai yang terkumpul itu terus diserahkan kepada Pengerusi Sekretariat Solidariti DS Najib, Datuk Mohd Razlan Rafii.

“Tabung Bantuan DS Najib ini dilancarkan dua hari lalu dan ia merupakan sumbangan daripada ahli Umno menerusi ketua cawangan masing-masing.

“Ini adalah bukti bahawa di saat bekas pemimpin kita ditimpa ujian, kita sepakat membantu dan memperjuangkan semangat kebersatuan yang kita semai selama ini.

“Walaupun jumlahnya tidak seberapa, namun inilah usaha kita terhadap pemimpin yang kita sanjungi,” katanya selepas menerima tabung bantuan daripada ketua Umno cawangan di Kesedar Paloh 2, hari ini.

Dalam pada itu, Amran berkata, tindakan kerajaan membekukan akaun Umno adalah tidak wajar sama sekali dan bercanggah dengan amalan sistem demokrasi.