KOTA BHARU -Tiga lelaki anak jati Kelantan mencabar diri mereka untuk mencipta sejarah dengan mengembara menunaikan umrah melalui jalan darat menggunakan kapcai pada 3 November ini.

Misi tiga sahabat dari latar belakang berbeza itu, Ahmad Zalani Zulkifli, 64, Diami Yusoff, 58 dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, akan bermula dari Kelantan melalui lapan negara dengan jarak kira-kira 14,000 kilometer.

Percubaan pertama tersebut sebenarnya bermula dengan perbualan kosong antara mereka yang kemudiannya dibincangkan dengan lebih lanjut dan menganggap sesuatu bersejarah untuk dilaksanakan.

Peminat sukan bermotor dan juga mekanik berkenaan mahu misi tersebut dilaksanakan bagi membuktikan anak Kelantan mampu menyahut cabaran termasuk melakukan perkara yang dianggap sukar untuk direalisasikan.

Ketua Ekspedisi, Diami berkata, impian untuk menamatkan pengembaraan dalam tempoh 60 hari itu sudah pastinya akan memberikan cabaran yang hebat terutamanya keadaan cuaca dan bentuk muka bumi.

Menurutnya, selain mahu mencapai hasrat menjadi tetamu ALLAH SWT, misi tersebut juga dilaksanakan bagi menyelami perit jerih perjalanan ulama zaman dahulu boleh sampai di Makkah Al-Mukarramah.

“ Zaman dulu lagi sukar ketika mereka guna jalan darat atau laut. Jadi kita berpakat untuk ke sana dengan kapcai 135 cc. Sedikit sebanyak kita dapat merasai cabarannya termasuk juga dengan suhu panas dan sejuk yang melampau nanti.

“Biarpun saya sudah berusia namun ini tidak menjadi halangan untuk saya ke tempat yang jauh dan tidak pernah saya sampai dengan menggunakan motosikal.

“Cabaran hebat juga bila berada di India kerana cuaca sejuk melampau dan laluan bersalji. Cuaca panas melampau dan berpasir juga bakal menjadi cabaran buat kami nanti,” katanya kepada media di pejabat Tourism Kelantan hari ini.

Hadir sama pada sidang media, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri Kelantan,  Mohd Aidil Afize Daud, Pengarah Tourism Kelantan, Hafiz Hazin dan Penaung Kelantan Bikers, Rafie Che Mat.

Sementara itu peserta paling muda, Mohamad Fadhli berkata, selain membuat persediaan ketahanan mental dan fizikal, pihaknya juga sedang mengubahsuai motosikal mereka untuk memudahkan perjalanan.

“Salah seorang daripada kami adalah mekanik, jadi kita gunakan kepakaran yang dimilikinya. Kita juga turut mendapatkan maklumat terkini berkaitan cuaca dan keselamatan semasa bagi melancarkan pengembaraan kami.

“Memang kami bersemangat  dan masih buat persiapan. Tetapi tolong doakan perjalanan dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ke sana dapat ditamatkan dengan selamat dan kami dapat kembali ke pangkuan keluarga semula,” katanya.

Sekurang-kurangnya RM120,000 diperlukan dalam membuat persiapan menjayakan misi tersebut dan sehubungan itu penganjuran Kelantan Bike Meet 2018 oleh Kelantan Bikers dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Urus setia  Belia dan Sukan negeri akan diadakan pada 15 September ini.

Program yang berlangsung di Stadium Sultan Muhamamad IV bermula jam 8 pagi hingga 12 malam itu dengan pelbagai pengisian diadakan bagi mengutip dana untuk membantu menampung kos perjalanan tiga sahabat tersebut.

Orang ramai ingin sama-sama mempunyai ‘saham’ bolehlah menyokong pengembaraan tersebut dengan membeli baju dan pelekat kenderaan ‘Gi Mekoh Nga Mutor’  yang dijual oleh mereka.