RANTAU PANJANG – “Tiada lagi suara lantang akan kedengaran ketika menyanyikan lagu Negaraku selepas ini,” kata Dzukiman Yusoff, guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat, semalam.

Kematian Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, yang lemas di Sungai Golok, berhampiran Kampung Rahmat benar-benar dirasai kerana suaranya sering mendahului rakan lain setiap kali perhimpunan pagi.

Suara lantang atasi rakan

Dzukiman berkata, kelantangan suara arwah menyebabkan guru-guru mengenalinya, walaupun tidak mengajarnya.

Menurutnya, arwah seorang pemalu, tetapi agak yakin setiap kali menyanyikan lagu kebangsaan.

“Arwah tidak kisah walaupun dia silap menyanyi, dia tetap akan meneruskan nyanyiannya.

“Suaranya sering kali mengatasi suara murid lain, setiap kali menyanyi,” katanya ketika ditemui di sekolah itu tengah hari semalam.

Perkara ini turut diakui guru besar sekolah itu, Korma Bakar yang turut mengenali arwah kerana kelantangan suara ketika menyanyikan lagu Negaraku.

Suka bercerita kisah adik

Sementara itu, Sinar Harian sempat merakamkan keadaan di bilik darjahnya.

Tempatnya yang bersebelahan tempat duduk sepupunya, di belakang kelas kosong.

Guru kelasnya, Norma Ismail menyifatkan arwah murid pendiam dan tidak akan melawan jika rakan-rakan mengusiknya, sebaliknya akan memaklumkan kepadanya.

Sungguhpun begitu katanya, arwah suka bercerita tentang dua adiknya yang turut lemas bersamanya, kerana suka bermain dengan buku-bukunya.

Katanya, kali terakhir dia menemui arwah ialah ketika kelas jam 10.45 pagi hingga 1.15 petang kelmarin.

“Ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma dia mengadu sepupunya marah dan tidak mahu masuk ke kelas, selepas dipujuk, dia masuk belajar seperti biasa.

“Arwah tergolong dalam kelompok pelajar yang boleh membaca dan agak manja,” katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains untuk tahun satu sekolah itu.

Tabung bantu ibu mangsa

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Mas, Che Nordin, Korma dan kakitangan Kemas turut menziarahi keluarga mangsa.

Penyelia Kanan Kemas Rantau Panjang, Mukhtar Mustapa bersama Pengarah Operasi II, Kemas Kelantan, Rokhzaidi Othman menyampaikan sumbangan RM500 kepada ibu arwah, Norashikin Abd Rahman, 41.

Mukhtar berkata, Kemas Rantau Panjang mewujudkan tabung membantu keluarga Norashikin dengan mengutip derma kakitangan jabatan itu di seluruh Kelantan dan menasihatkan ibu mangsa supaya bersabar dengan ujian itu.

“Saya berharap ibu arwah tidak memikirkan soal kerja sebaliknya menumpukan kepada keluarga terlebih dahulu,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Zulhilmi ditemui lemas bersama dua adiknya, Muhamad Syahmi Aziz, 6, dan Muhamad Irfan Rahman Aziz, 4, oleh penduduk dan juga Pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Jenazah ketiga-tiga beradik itu dikebumikan sekitar jam 11.10 pagi semalam dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.