GUA MUSANG - [VIDEO] Hampir 200 penduduk di Kampung Batu 2, Kuala Nerus, di sini, masih menunggu bekalan air dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang bermasalah sejak bertahun lamanya.

Langsung tidak mendapat bekalan air sejak tahun lalu, penduduk di sini terpaksa menadah air hujan dan mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan air tandak dari kawasan bukit.

Menurut Harinah Aziz, 44, masalah air ini telah berlarutan sejak 2014 dan bermula tahun lalu, dia langsung tidak mendapat bekalan air.

"Masalah gangguan air ini sudah berlaku sejak lima tahun lalu. Namun ketika itu, kami masih mendapat bekalan air walaupun terhad. Kadang-kadang, malam sahaja dan kadang-kadang malam sahaja dapat.

"Namun, sejak tahun lalu, langsung tak dapat. Kami hanya mengharapkan air hujan dan memasang tangki tadahan. Selain itu, kami ambil air tandak untuk kegunaan harian. Jarak ke kawasan berkenaan lebih kurang satu kilometer.

"Sampai bila kami perlu berdepan dengan masalah air? Kami juga mempunyai hak yang sama untuk merasai kemudahan itu seperti orang lain di kawasan luar," katanya lagi.