GEMANG - Bilal dan bekas ustazah muncul johan qari dan qariah sempena Majlis Tilawah al-Quran peringkat Jajahan Jeli, kelmarin.

Kemenangan tersebut membolehkan Khairul Azwar Alias, 35, dan Kamilah Ab Rahman, 61, membawa pulang wang tunai RM1,500, senaskhah al-Quran dan cenderahati.

Khairul Azwar yang juga bilal di Masjid Muhammadi Kota Bharu berterima kasih atas sokongan keluarga, guru al-Quran dan rakannya.

“Saya mewakili Jeli ke pertandingan tilawah peringkat negeri sejak 2005. Ketika itu saya dapat tempat kedua. Tahun 2014 pula, saya dapat tempat ketiga juga peringkat negeri," katanya.

Menurutnya, dia mula mendalami ilmu taranum sejak usia 15 tahun dengan beberapa guru al-Quran di negeri ini termasuk bekas qari antarabangsa, Abdul Rahim Ahmad.

Khairul Azwar yang juga bapa tiga anak berharap, dapat memberikan yang terbaik pada pertandingan di peringkat negeri yang dijadualkan 25 Februari hingga 1 Mac ini.

“Sebagaimana peserta lain saya harap akan berjaya dan dapat bersaing di peringkat kebangsaan pula," katanya.

Sementara itu, Zamilah berkata, dia bersyukur kerana sekali lagi terpilih membawa nama Jeli ke peringkat negeri.

Katanya yang juga bekas guru di Maahad Muhammadi Pasir Mas, dia mula mewakili Jeli dalam pertandingan tilawah peringkat negeri bermula tahun lalu.

“Alhamdulillah ini tahun kedua saya wakili Jeli ke peringkat negeri. Saya akan cuba yang terbaik, termasuk tingkatkan lagi bacaan dalam semua aspek," katanya.

Ketua Jajahan, Zulkifle Abd Rahman berkata, penganjuran itu yang diselaraskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) di peringkat negeri memberi peluang kepada warga Jeli mengasah bakat dan kebolehan membaca serta melagukan bacaan al-Quran.

Katanya, aktiviti ini diharap memperkukuh dan melahirkan penduduk bertakwa serta mencapai tahap masyarakat sejahtera secara amnya.

“Lapan peserta terlibat, johan qari dan qariah dipilih mewakili jajahan ke peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung 25 Februari hingga 1 Mac ini di Kompleks Balai Islam Lundang.

“Saya harap, wakil jajahan tahun ini dapat meningkatkan kedudukan jajahan Jeli ke tahap lebih baik, seterusnya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan," katanya.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Dr Yusnan Yusof.