KUALA KRAI - Pengerusi Perhubungan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) tidak menolak kemungkinan bertanding di dua kerusi Dun Manek Urai dan Parlimen Kuala Krai pada PRU14.

Datuk Nik Sapeia berkata, walaupun ramai menganggap kerusi Dun Manek Urai kubu kuat Pas setelah parti itu menang pada BN sejak pilihan raya 2008, beliau yakin mampu menang dengan selesa.

“Pada PRU13, Pas menang ke atas BN dengan majoriti lebih 1,000 undi tetapi saya yakin tetap diterima rakyat.

“Buktinya 10 program saya anjur, kehadiran begitu membanggakan kerana ada kehadiran mencapai 1,000 orang,” katanya selepas program di Manek Urai, malam semalam.

Nik Sapeia berkata, hasrat bertanding di dua kerusi kerana rakyat di Dun Guchil masih melihat keupayaan dirinya untuk menang.

“Saya lihat rakyat terima saya kalau orang tak terima, mereka tidak akan keluar. Adakala hampir seribu  orang,” katanya.

Beliau berkata, ramai yang hadir pada setiap program dianjurkan sejak hujung tahun lalu bukan disebabkan parti diwakili sebaliknya atas dirinya sendiri.

“Mereka datang bukan kerana parti yang saya wakili, tetapi atas ‘body’ saya. Rakyat dah kenal saya dan melihat jasa saya,” katanya.

Katanya lagi, beliau mula bersama rakyat di Dun Manek Urai sejak tahun 1970an lagi ketika mula-mula membuka kilang di kawasan itu.

"Sebab itulah saya agak rapat dengan rakyat Dun Manek Urai,” katanya.