PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang menangkap ikan secara haram di perairan negara, semalam.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua bot itu ditahan di Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) antara 119 hingga 120 batu nautika dari Kuala Tok Bali, dari jam 9.30 hingga 10.40 pagi.

Katanya, dalam bot pertama,  seramai 12 nelayan termasuk tekong ditahan dan dalam bot kedua, dua lagi nelayan  ditahan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tidak mempunyai permit sah untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Kesemua nelayan berusia dari 19 hingga 51 tahun itu tidak menpunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Nurul Hizam berkata, ZEE menjadi pilihan nelayan Vietnam kerana lokasinya berhampiran sempadan yang memungkinkan mereka lolos dengan memasuki perairan negara mereka apabila kegiatan haram itu berjaya dihidu pihak berkuasa.

"Dalam operasi semalan (kelmarin), kita bertindak pantas dan mereka tidak berjaya melepaskan diri.

"Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan nilai rampasan kedua-duanya dianggarkan RM1 juta merangkumi bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan," katanya.