KOTA BHARU - Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’) Kelantan yang merawat pelajar histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh semalam menemui kesan minyak pengamalan bomoh di sekitar sekolah.   

Pengarah Darussyifa’ Kelantan, Zaki Ya berkata, sukar untuk menjelaskan perkara ghaib sebegitu, namun tinjauannya mendapati terdapat kes minyak berkenaan yang dipercayai daripada perbuatan khianat hingga menyebabkan berlaku histeria.

“Dua minggu lalu saya sudah ke sekolah ini untuk modul Bahasa Arab, ada guru yang mengadu sering gatal-gatal mata dan badan selain sakit-sakit tubuh badan apabila ke sekolah.

“Jadi saya sudah pun melakukan rawatan terhadap mereka dan tidak menyangka kejadian itu berlanjutan sehingga histeria beramai-ramai, namun ini adalah ujian Allah untuk mereka,” katanya.

Beliau diminta oleh Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu untuk membantu memulihkan 39 pelajar, dua guru dan seorang pembantu makmal yang kerasukan semalam.

Katanya, semasa tiba pada jam 8.30 pagi di sekolah berkenaan beliau mendapati keadaan huru-hara kerana lebih 30 orang pelajar bertempik, menangis serta gagal mengawal diri masing-masing.

“Semua yang diserang histeria dibawa ke surau sekolah untuk rawatan sebelum keadaan bertambah baik selepas kira-kira 40 minit. Sehingga jam 12 tengah hari seramai 46 orang dirawat kerana histeria termasuk dua guru, seorang pekerja makmal dan seorang pelajar lelaki.

“Mangsa ini ada yang bertepuk tangan, tersenyum-senyum, menjerit kesakitan, menjerit benci selain meraung dan menangis. Puncanya terlalu rumit untuk diceritakan dan ini gangguan daripada makhluk halus,” katanya.