MACHANG - Seorang pelajar berdepan detik cemas apabila menyangkakan rumah sewanya terbakar akibat disambar petir dalam kejadian hujan ribut kira-kira jam 7.15 petang, di Desa Harapan dekat Universiti Teknologi Mara Cawangan Kelantan, di sini, kelmarin.

Amirah Syahirah Sukran, 20, berkata, ketika sedang berehat di ruang tamu rumah, dia dikejutkan dengan percikan api berdekatan televisyen yang terletak kira-kira dua meter dari tempat duduknya.

Katanya, dia yang terkejut cuba melarikan diri kerana menyangkakan rumah terbakar sebelum menyedari hanya televisyen dan dekoder astro yang disambar petir pada kejadian itu.

"Selepas itu bekalan elektrik terputus dan keadaan kembali tenang apabila kami memastikan keadaan selamat dan percikan api tersebut tidak melibatkan bahagian lain di dalam rumah.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya ingatkan rumah terbakar. Mujurlah semuanya selamat dan hanya beberapa peralatan elektrik yang rosak termasuk cerek elektrik dan lampu," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Selain rumah sewanya, beberapa rumah yang terletak berdekatan turut mengalami nasib yang sama termasuk lampu meletup namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, kejadian tersebut merupakan pengalaman pertama dan memberi pengajaran kepada mereka untuk mengambil langkah-langkah keselamatan setiap kali berlaku hujan ribut.

Tambahnya, semasa kejadian televisyen tersebut telah ditutup namun tidak suisnya sekali gus menyumbang kepada kejadian itu.