KOTA BHARU - “Curi sebab nak bayar yuran kolej anak.” Itu alasan seorang pelukis batik yang aksinya menyorok bawah meja untuk mencuri beg peniaga buah di Pasar Siti Khadijah, di sini, Ramadan lalu dirakam kamera litar tertutup.

Tertuduh, Fazilawati Muda, 43, yang diwakili peguam awam memohon Majistret, Nik Habri Muhamad supaya meringankan hukumannya kerana dia terdesak mencuri untuk menjelaskan yuran pengajian anaknya itu.

Tadi, Nik Habri menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara enam bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda.

Beliau turut mengarahkan tertuduh membayar pampasan kepada mangsa sebanyak RM1,500 dan memerintahkan tertuduh memulangkan wang RM2,300 yang dicuri tersebut.

Rakaman kamera litar tertutup yang tular di laman sosial.

Sebelum itu, tertuduh mengaku salah mencuri beg tangan Noor Han Ab Kadir, 39, yang mengandungi wang tunai RM2,300 berserta kad pengenalan; pelbagai kad bank; buku akaun bank dan kunci kereta.

Kesalahan dilakukan di gerai buah mangsa di Pasar Siti Khadijah, di sini, antara jam 9 dan 3 petang, 30 Jun lalu.

Sebelum ini, kes tular di laman sosial selepas aksi tertuduh dirakam kamera litar tertuduh di pasar tersebut.

Dalam rakaman itu, tertuduh dilihat menuju ke gerai buah dan berpura-pura sebagai pelanggan. Ketika penjual berpaling ke belakang untuk mengambil buah yang ditujukannya, tertuduh menyelak alas meja dan menyorok di bawahnya lalu mengambil beg duit tanpa disedari mangsa.  

Tertuduh juga sempat berkelakuan biasa dan menyapa peniaga itu sebelum berlalu.