JELI - Kurang persaingan dan risiko kematian rendah antara faktor ternakan itik kaki Chambell menjadi pilihan seorang belia di sini.

Lebih menarik, Muhamad Jazman Du Ramli, 26, kini mampu menjana pendapatan sampingan agak lumayam apabila telur itik berkenaan dijadikan telur masin bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Menternak ini hanya kerja sampingan di samping kerja-kerja kimpalan untuk menghasilkan mesin perincih rumput.

"Walaupun secara sampingan, tapi pendapatannya alhamdulillah, agak lumayan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhamad Jazman berkata, dia memilih menternak itik sebagai kerja sampingan memandangkan haiwan berkenaan tahan lasak dan boleh diusahakan walau hanya menggunakan ruang di belakang rumah.

"Tambah pula pasaran terhadap itik dan telur masin juga tak banyak persaingan, penjagaan pun mudah, tak ganggu kerja- kerja kimpalan yang saya buat sepenuh masa," katanya.

Bercakap mengenai cabaran, pemegang Diploma Syariah daripada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) ini berkata, menternak itik memerlukan dia berkorban masa dan tenaga selama empat bulan tanpa sebarang pendapatan.

"Saya ternak dari kecil, ambil masa empat bulan untuk membesar dan mula bertelur, jadi memang dalam tempoh tu kena habiskan modal dulu. Pasaran pun jadi masalah juga awal-awal dulu, tapi alhamdulillah bila kita uar-uarkan, tak sampai sebulan dah dapat pasarkan dengan baik," katanya.

Muhamad Jazman menternak itik di belakang rumah mentuanya.

Menurutnya, lebih menggembirakan apabila telur masin dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan hingga kadang kala tidak mencukupi.

Tambahnya, satu lagi cabaran ketika membersih telur berkenaan sebelum dijadikan telur masin kerana ia memerlukan ketelitian bagi memastikan tahap kebersihannya benar-benar memuaskan.

"Kata-kata buat seperti untuk makan sendiri, bimbang timbul masalah kemudian hari sentiasa saya pegang kerana kepuasan pelanggan adalah satu keutamaan," katanya.

Bapa seorang anak ini berkata, di awal penglibatannya Januari lalu, dia bermula dengan 200 ekor, namun kini hanya tinggal sekitar 180 ekor selepas ada yang mati kesejukan selain dijual untuk dibuat baka.

"Sekarang sekitar 130 hingga 150 biji telur sehari mampu dihasilkan itik-itik ini bagi memenuhi pasaran di seluruh negeri termasuk di Titiwangsa dan terbaru di Melaka. Setiap 13 biji saya jual dengan harga RM10," katanya.