KOTA BHARU - Dua sahabat dihukum penjara lapan tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini, atas kesalahan merompak warga Bangladesh dengan menggunakan pisau, awal bulan ini.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Syed Faliki Johari Ariffin, 31, dan Che Rizal Che Razali, 32, mengaku salah terhadap tuduhan.

Beliau turut mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan pada 9 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan secara berkumpulan dengan pisau terhadap Areful Daly berusia 30-an dengan melarikan wang tunai RM7,700 dan dua telefon bimbit di kebun kelapa sawit di Sungai Embak, Kuala Krai pada jam 1.40 tengah hari, 8 Februari lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian lalu, mangsa yang sedang menunggu kenderaan untuk ke bandar Kuala Krai didatangi dua lelaki menaiki kereta Toyota Corolla dan mengarahkannya menaiki kenderaan itu.

Dalam perjalanan, tertuduh membelok ke Jalan Sungai Embak dan berhenti di kebun kelapa sawit.

Tertuduh kemudian mengeluarkan pisau dan mengambil wang mangsa sebelum melarikan diri.

Kedua-duanya bagaimanapun berjaya ditahan sehari selepas kejadian.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman ringan dengan alasan insaf dengan kesalahan itu.

“Isteri saya baru sebulan meninggal dunia dan saya perlu menyara tiga anak masih kecil,” kata Che Rizal.