MACHANG - Meskipun aktif menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk santan dan kedai runcit, Masni Mat Yunus, 48, tidak pernah mengetepikan perniagaan keluarga yang diusahakan ibunya sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, perniagaan kedai makan, mi sup perut atau lebih dikenali sebagai colek perut dalam kalangan rakyat Kelantan itu cukup sinonim kepada keluarganya dan masyarakat sekitar Kampung Ayer Merah, dekat Bukit Bakar di sini.

Katanya, minatnya dalam dunia perniagaan mula dipupuk sejak kecil apabila diamanahkan ibunya membeli barang seawal usia 10 tahun.

"Saya akan ke pasar untuk beli barang basah termasuk perut bulat yang menjadi bahan utama mi celup ini. Kami gunakan seratus peratus perut bulat untuk menjaga kualiti dan memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Ketika itu harga perut lembu sekilogram sekitar RM2 hingga RM3 dan kami mengusahakan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Masni berkata, kedai makan Ciknie Colek Perut Viral tersebut dibuka bermula jam 12 tengah hari hingga 12 malam pada Ahad hingga Khamis dan 8 hingga 12 malam pada Jumaat dan Sabtu.

Katanya, selain colek perut, dia turut menawarkan sup tulang dan air asam perut sebagai pilihan kepada pelanggannya.

Walaupun terletak di kawasan kampung, mi celup tersebut mempunyai peminat tersendiri termasuk pelanggan setia sejak 30 tahun lalu.

"Dulu orang panggil colek perut Mak Su sebab itu panggilan penduduk untuk emak saya, Mek Som Yunus. Sejak saya ambil alih beberapa tahun lalu, saya tukar nama kepada Ciknie Colek Perut.

"Anak-anak juga banyak membantu saya menguruskan perniagaan ini. Saya berharap ada anak-anak yang akan mewarisinya pada masa akan datang sekali gus mempertahankan perniagaan keluarga kami ini,” katanya.