KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menerima zakat RM43,528.82 daripada Co-opBank Persatuan Malaysia Berhad, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abdul Hadi berkata, sumbangan tersebut merupakan zakat perniagaan bank berkenaan bagi tempoh kewangan berakhir 2017.

“Kita ucap terima kasih kepada Co-opBank Persatuan Malaysia Berhad kerana mereka sejak sembilan tahun lalu tidak pernah ketinggalan menyampaikan zakat kepada Maik.

“Kita ada projek besar iaitu penanaman cili di Pasir Puteh melibatkan 24 peserta yang mengambil masa selama lima tahun dan selepas itu kita harap mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya kepada Sinar Harian.  

Hadir sama Pengerusi Co-opBank Persatuan Malaysia Berhad, Kamari Zaman Juhari, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Noor Abd Razak dan pengurus cawangan negeri, Amirul Ridzuan Abd Razak.

Menurut beliau, pihaknya juga menyediakan biasiswa kepada pelajar bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang kulinari, automotif dan jahitan dengan sasaran mampu menjana pendapatan sekitar RM1,000 hingga 2,000 bulan.  

“Dalam masa sama, Maik turut menghantar 50 pelajar melanjutkan pengajian di luar negara dengan biasiswa ditanggung penuh bagi mempersiapkan mereka menjadi golongan profesional dan bila tamat pengajian boleh bantu keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Kamari Zaman memberitahu, agihan zakat kepada pihak Maik kali ini merupakan tertinggi direkodkan pihaknya, sejak beroperasi di negeri ini, 10 tahun lalu.

“Pertama kali kita sumbang zakat RM25,000, tahun lalu RM33,800 dan kali ini meningkat RM10,000 menjadikan lebih RM43,000. Jumlah ini berdasarkan keuntungan cawangan selepas ditolak kos operasi dan sebagainya.

“Keuntungan keseluruhan Co-opBank pada tahun lalu adalah RM39 juta dan tahun ini kita sasarkan sekitar RM52 juta. Keuntungan ini diperoleh menerusi pinjaman peribadi dan pembiayaan Ar-Rahnu di semua cawangan di seluruh negara,” katanya.