TANAH MERAH - Tukang kebun sebuah sekolah tahfiz sains di sini, memohon rumah baharu bagi menggantikan rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Padang Kijang, akhir November tahun lalu.

Razali Mat Zain, 59, berkata, dia bersama isteri dan tiga anak termasuk seorang berstatus OKU kini tinggal di bahagian rumah yang terselamat dalam kebakaran.

Katanya, walaupun rumah itu masih boleh dibaiki, namun mengikut perkiraan, ianya tidak berbaloi kerana kosnya tinggi disebabkan saiz rumah itu yang agak besar.

“Kalau boleh pakcik tak mahu rumah atas tapak yang terbakar ini. Hasrat pakcik sekeluarga, kami nak rumah (baru) bukan atas tapak sekarang tapi atas tapak lain berdekatan tapak lama,” katanya.

Menurutnya, dengan pendapatan tidak seberapa, dia tidak mungkin mampu bina sendiri rumah baharu yang diimpikan.

Keadaan rumah Razali yang terbakar dalam kejadian akhir November tahun lalu.

“Buat masa sekarang, kami masih berteduh di kawasan rumah yang terselamat walaupun kurang selesa,” katanya.

Mengenai bantuan diterima, Razali berkata, setakat ini, beberapa pihak tampil menghulurkan sumbangan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan kerajaan negeri.

Katanya, bantuan wang ihsan JPP berjumlah RM5,000 disampaikan Pengarah Dun Kemahang, Baharudin Yusoff, manakala sumbangan kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Makkah berjumlah RM1,000.

“Bantuan kerajaan negeri (Tabung Serambi Makkah) pula diserahkan Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman lebih awal iaitu sejurus selepas kejadian,” katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata, bantuan itu menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan dalam membela nasib rakyat yang ditimpa musibah.

“Saya harap bantuan wang ihsan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa yang mengalami kerugian akibat kebakaran itu,” katanya.